KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berpandangan tidak salah untuk Umno bertanding solo dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya, Umno sebagai parti terbesar umat Melayu dengan keahlian sekitar 3.5 juta orang, maka tidak salah parti itu bertanding menggunakan lambang keris.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said yang melontarkan pertanyaan adakah sudah tiba masa untuk parti itu bertanding atas tiket sendiri pada pilihan raya akan datang atau masih di bawah bendera Barisan Nasional (BN).
Menerusi catatan di Facebooknya Selasa lalu, Ahli Parlimen Pengerang itu juga membangkitkan adakah BN perlu menyertai pilihan raya bersama dengan gabungan baharu.
Pandangan peribadinya itu dilontarkan kerana timbul berbagai reaksi yang disuarakan susulan prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu.
Ini termasuk adanya desakan supaya Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengundurkan diri.
“Tujuan ulasan terhadap kenyataan Ketua Penerangan Umno tersebut bukannya untuk mencampuri urusan rumah tangga Umno
“PAS tidak pernah dan tidak akan campur tangan urusan dalaman Umno, itu hak mutlak Umno,” ujar Syahir kepada Harakahdaily.
Beliau sekadar berkongsi pengalaman PAS yang pernah bertanding solo dalam PRU14 lalu.
Tambahnya, PAS pernah memberi laluan kepada Umno dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) dalam kerjasama Muafakat Nasional (MN).
“Seterusnya PAS telah bertanding dalam gabungan PERIKATAN NASIONAL (PN), termasuklah menggunakan lambang PN dalam PRU15, dan terbaharu pilihan raya negeri 2023,” katanya lagi.
Menurutnya, pengalaman PAS bertanding solo bukan lagi pilihan, walaupun itulah yang dikehendaki oleh Umno dalam PRU15.
Tambahnya lagi, walhasil PAS mendapat lonjakan sokongan, khususnya dalam kalangan anak muda, kerana rakyat mahukan sebuah gabungan (coalition) yang kukuh, stabil dan jujur.
Maka, ujar beliau tidak salah untuk Umno membuat eksperimen dengan bertanding solo atau memilih gabungan baharu kerana Malaysia adalah negara demokrasi.
“Bak kata orang muda, kalau berani, ‘test-lah’,” katanya.
Syahir turut mengingatkan bahawa Umno yang bersungguh-sungguh mendesak PAS supaya bertanding solo dan menggunakan lambang sendiri ketika PRN Melaka dan PRN Johor, sebelum ini.
Ini, ujar beliau termasuklah memberi kata dua kepada PAS untuk memilih Umno atau Bersatu sebelum PRU14 tempoh hari.
Namun, jelasnya PAS mengambil keputusan sebaliknya, dan tidak tunduk kepada tekanan Umno.
Justeru, beliau mengharapkan semua parti Melayu sama ada Umno, PAS dan Bersatu supaya bermuhasabah, untuk meletakkan agenda perpaduan ummah dan kestabilan negara di hadapan, melangkaui kepentingan politik dan peribadi yang sempit. – HARAKAHDAILY 25/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!