Batik Terengganu untuk semua rakyat Malaysia

Razali (berdiri) menghadiri program sembang santai bersama jawatankuasa Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jangan terkejut sebahagian besar kakitangan awam di Malaysia bakal berpakaian batik Terengganu sewaktu bekerja harian di pejabat, tidak semata-mata tertumpu pada hari wajib Khamis.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, bukannya apa, batik Terengganu merupakan antara tekstil dalam warisan kesenian dan kebudayaan Melayu yang sangat berciri khas.

“Batik Terengganu ini adalah warisan kita, ada seninya dan sentuhan unik yang lahir dari jiwa, hasil pelbagai proses dari mula pekerja menekap blok batik, mewarna, merebus dan menjemur sehingga kering,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosial beliau.

Semua itu, katanya harus dipelihara kerana ia adalah kemahiran dan bakat yang istimewa.

Di Terengganu, ujar beliau kehebatan batiknya masih dapat dilihat pada pembuatan kaedah tradisional iaitu dari segi warna yang tahan lama dan tidak mudah luntur, kepelbagaian corak melalui blok batik yang ditekap serta campuran warna unik yang dihasilkan mengikut kreativiti pengusaha.

Justeru, beliau menyambut baik langkah Putrajaya yang menetapkan penggunaan batik sebagai pakaian dalam tugasan harian pada setiap Khamis dan digalakkan pada hari lain, malahan di negeri itu pun Menteri Besar juga telah melaksanakan secara harian.

Menurutnya, langkah yang murni itu sekali gus terus memperkasakan dan memajukan industri batik bukan sahaja di Terengganu bahkan di seluruh negara agar ia tidak lekang dek perubahan zaman.

“Batik ini dapat disuburkan sepanjang masa. Sudah tentu batik terap Terengganu antara yang terbaik,” ujarnya yang juga Adun Kijal.

Beliau berkata, mengikut Kraftangan Malaysia, nilai jualan produk batik termasuk barangan kraf berasaskan batik adalah lebih RM69.2 juta pada tahun 2022 berbanding RM38.9 juta pada tahun 2021.

Sudah tentu, ujarnya potensi tahun ini dan seterusnya boleh dijana jangkaan sehingga RM100 juta.

Razali juga merasakan sudah tiba masanya semula mengangkat batik Terengganu sehingga ke peringkat antarabangsa sebagai antara produk pelancongan dan kebudayaan yang memberi lumayan berganda kepada pemain industri berkenaan.

Beliau yang mesra dengan panggilan Tok Li menambah, sebagai anak bangsa Melayu, batik adalah warisan yang perlu dijaga.

Katanya, kejadian alam dan tindakan manusia terhadap warisan budaya boleh merugikan dan ancaman kepada negara.

Menurutnya lagi, Terengganu dan negara ini perlu memberi perhatian yang khusus dan sewajarnya terhadap warisan budaya.

Beliau berkata, warisan budaya pada dunia kini merupakan sesuatu yang amat bernilai dan memaparkan jati diri bangsa negara

“Batik Terengganu akan dipromosi secara besar-besaran, Tok Li yakin semua peneraju perusahaan batik di negeri ini dapat digabungkan bagi menjayakan hasrat murni ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 25/8/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!