PERANG saudara yang meletus di Pahang pada akhir 1850-an ekoran kemangkatan Bendahara Sri Maharaja Tun Ali telah membawa kepada salah seorang puteranya, Wan Ahmad dilantik sebagai Bendahara bergelar Sri Paduka Dato’ Bendahara Sri Maharaja pada 1863, menggantikan kekandanya, Bendahara Tun Mutahir yang tewas dalam perang saudara tersebut. Pada 1881, Bendahara Wan Ahmad mula memakai gelaran sultan dan mengasaskan Kesultanan Pahang Moden dari Dinasti Bendahara. Daripada keturunan Sultan Ahmad Muazzam Shah inilah lahirnya al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah, Yang di-Pertuan Agong sekarang. Secara garis keturunan, Bendahara Pahang adalah berasal dari keturunan Bendahara Melaka, Raden Anum yang bersemenda dengan keluarga Syed Zainal Abidin dari keturunan al-Idrus pada zaman Bendahara Tun Jenal, datuk kepada Bendahara Tun Habib Abdul Majid.
Menurut sejarah, setelah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dibunuh pada 1699, putera Bendahara Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Tun Abdul Jalil telah dijadikan Sultan Johor Riau yang baru bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah dan adindanya, Tun Mas Jiwa, Tun Abdullah dan Tun Abdul Jamal bergantian menjadi Bendahara di antara 1706 hingga 1722. Pada 1722, putera Sultan Abdul Jalil, Sultan Sulaiman (1722-1760) telah melantik adindanya, Tun Abbas sebagai Bendahara Johor Riau, sebelum digantikan oleh putera Tun Abbas, Tun Hassan pada 1748. Setelah Tun Hassan mangkat, adindanya, Tun Abdul Majid menjadi Bendahara Johor Riau di antara 1770 hingga 1802. Tun Abdul Majid diberikan kuasa untuk memerintah Pahang. Putera sulung Tun Abdul Majid, Bendahara Tun Mohammad mangkat karam di laut beberapa bulan setelah menggantikan ayahandanya sebagai bendahara, lalu diganti oleh adindanya Bendahara Tun Koris.
Kemangkatan Bendahara Tun Koris pada 1807 telah digantikan oleh puteranya, Bendahara Tun Ali. Pada awalnya Tun Ali menjadi Bendahara Johor Riau yang memerintah di Pahang, tetapi pada 1853, baginda hanya menjadi Bendahara Pahang sahaja. Setelah kemangkatan Tun Ali pada 1858, puteranya Tun Mutahir menjadi bendahara, sebelum meletusnya perang saudara dengan adindanya yang berlainan ibu, Wan Ahmad. Pada 1863, Wan Ahmad telah memenangi perang ini dan mula menjadi bendahara sehingga 1881 dan kemudiannya bergelar Sultan Ahmad (1881-1914). Putera Sultan Ahmad, Sultan Abdullah (1917-1932) adalah Sultan Pahang ketiga yang mengganti kekandanya, Sultan Mahmud (1914-1917) yang mangkat. Sultan Abdullah adalah ayahanda kepada Sultan Abu Bakar (1932-1974) dan Tengku Abdul Hamid, tokoh yang diperkatakan ini. Dari keturunan Sultan Abu Bakar itu lahirnya al-Sultan Abdullah, Yang di-Pertuan Agong XVI.
Kelahiran dan pendidikan
Tengku Abdul Hamid sebagai seorang putera Sultan Pahang telah diputerakan pada 16 Oktober 1926 di Istana Kuning, Pekan, Pahang. Ibunya, Wan Cantik adalah anak kepada Wan Mohammad Amin, seorang bangsawan dari Patani yang juga menantu kepada Panglima Jaafar Kuala Jempol. Wan Cantik merupakan isteri ketiga kepada Sultan Abdullah al-Mus’tasim Billah Shah. Di sebelah ibunya juga, beliau adalah anak saudara kepada Tok Muda Awang Hitam, seorang pembesar tempatan yang terkenal ketika itu. Beliau kemudiannya dibesarkan dalam lingkungan istana dengan adat raja-raja di Istana Kuning, Pekan. Di sinilah beliau mendapat didikan awal agama dan juga adat-adat diraja, terutama daripada ibunya sendiri, selain mula mempelajari al-Quran dari guru agama di istana. Tengku Abdul Hamid adalah anak lelaki Sultan Abdullah yang kesepuluh.
Setelah melalui zaman kanak-kanaknya di Istana Kuning, Tengku Abdullah dihantar belajar secara formal di Sekolah Melayu Ganchong, Pekan iaitu sekolah yang menjadi tempat kekanda-kekandanya belajar sebelum ini. Beliau belajar di sini beberapa tahun antara 1933 hingga 1935, kemudian memasuki sekolah Inggeris, Government English School, Pekan dan belajar di sini sehingga tamat pendidikan rendah pada 1937. Sekolah yang ditubuhkan oleh ayahandanya, Sultan Abdullah ini telah diberikan nama Ahmad School Pekan (kini Sekolah Kebangsaan Ahmad), mengambil sempena nama nendanya, Sultan Wan Ahmad, pengasas Kesultanan Pahang Moden. Secara kebetulan, pada zaman Sultan Abu Bakar, baginda telah menitahkan supaya beberapa bilik di Istana Kuning dijadikan kelas untuk sekolah Inggeris ini, dan memudahkan Tengku Abdul Hamid pergi ke sekolah.
Setelah tamat belajar di Government English School ini, pada 1938, Tengku Abdul Hamid telah menyambung pengajian di peringkat menengah di Clifford School (kini SMK Clifford), Kuala Lipis pada zaman D.B.J Ambler menjadi guru besarnya. Pada masa ini, Kuala Lipis adalah ibu Negeri Pahang, sedangkan keluarga diraja masih tinggal di Pekan. Perhubungan utama di antara Kuala Lipis dan Pekan ketika ini adalah melalui Sungai Pahang. Tengku Abdul Hamid berulang-alik di antara sekolahnya di Kuala Lipis dengan istana bondanya di Pekan melalui sungai ini setiap kali musim cuti. Namun begitu, oleh kerana Sultan Pahang turut mempunyai istana di Pulau Tawar, Temerloh, beliau sering menghabiskan masa remajanya di Temerloh. Walau bagaimanapun, setelah empat tahun di sini, pelajarannya telah terganggu oleh Perang Dunia Kedua yang meletus pada akhir 1941, di mana Clifford School telah dijadikan markas tentera oleh Jepun. Tengku Abdul Hamid balik semula ke Pekan sepanjang zaman perang ini.
Perjuangan nasionalisme
Setelah kehidupannya tergendala akibat Perang Dunia Kedua, Tengku Abdul Hamid mula terdedah kepada pergerakan politik nasionalisme yang pada awalnya dipelopori oleh beberapa tokoh dari Pahang seperti Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dan Ibrahim Haji Yaakob. Mereka telah menubuh dan menggerakkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) sejak 1937, kemudian bekerjasama dengan Jepun dalam menghalau British pada awal zaman perang itu. Di sebelah pihak yang lain, bapa saudara Tengku Abdul Hamid, Tengku Mohammad ibni Sultan Ahmad yang baru bersara daripada jawatan Assistant Commisioner of Police (ACP) bersama Dato’ Orangkaya Shahbandar Hussein Mohd Taib (ayah Tun Razak) dan beberapa pegawai kerajaan yang lain telah menubuhkan Persatuan Melayu Pahang (PMP) pada 20 Mac 1938. PMP berbeza dengan KMM kerana mereka bekerjasama dengan British. Kemunculan Tengku Mohammad dalam pergerakan politik membuka lembaran baru sejarah Pahang.
Tengku Abdul Hamid yang masih muda itu menyaksikan bagaimana PMP telah berpecah dua selepas Perang Dunia Kedua, iaitu golongan yang pro-British dipimpin oleh Dato’ Hussein Mohd Taib, Kamaruzzaman Teh, S. Romai Noor dan lain-lain, manakala kumpulan yang dipimpin oleh Manap Jepun, Kamaruddin Muhamad (Keris Mas), Ustaz Ismail Tikam dan lain-lain pula berhaluan kiri. Kelompok berhaluan kiri ini kebanyakannya adalah peniaga dan guru agama yang tidak bekerja dengan British. Mereka lebih cenderung kepada Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 1945, sedangkan kumpulan yang berhaluan kanan pula cuba membubarkan PMP untuk diserapkan ke dalam Umno setelah parti itu ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Tengku Abdul Hamid sebenarnya cenderung kepada pergerakan kiri yang anti British lantaran pergaulan beliau dengan tokoh-tokoh PMP seperti Mohd Yassin Salleh, Ustaz Ismail Tikam, Muallim Jailani dan Muallim Abdul Ghafar.
Mohd Yassin Salleh yang menjadi Yang Dipertua PMP selepas Tengku Mohammad Sultan Ahmad telah menjadikan Kedai Agus Salim di Temerloh sebagai pusat perkumpulan mereka dan di sini idea-idea perjuangan PKMM yang mahu menuntut kemerdekaan dan menubuhkan Melayu Raya telah dikembangkan. Pengaruh Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) juga turut berkembang, sebelum Hizbul Muslimin meluaskan pengaruhnya di Pahang sejak 1948. Tengku Abdul Hamid sebagai putera raja, bersama Mohd Yassin Salleh, Dato’ Setia Abu Samah Ali dan lain-lain lebih mendukung dengan perjuangan PKMM yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, manakala Dato’ Abu Samah secara peribadi adalah penyokong Hizbul Muslimin. Di sini kelompok mereka telah terpisah daripada kumpulan bangsawan pimpinan Dato’ Hussein Mohd Taib dan Dato’ Mahmud Mat yang cuba membawa PMP kepada Umno.
Pada pertengahan 1948, ekoran pembunuhan Sir Hendry Gurney, British telah mewujudkan Ordinan Darurat 1948 dan mengharamkan parti-parti kiri. Pergerakan politik di Pahang suram seketika apabila PKMM, API dan AWAS diharamkan serta Hizbul Muslimin yang dilumpuhkan ketika itu. Turut diharamkan ialah Parti Komunis Malaya (PKM). Kegiatan politik Tengku Abdul Hamid hanya berkisar mengenai hubungan peribadi beliau dengan Mohd Yassin Salleh, Dato’ Abu Samah dan beberapa yang lain, tanpa melibatkan diri dalam mana-mana parti politik. Mohd Yassin yang merupakan bekas askar Wataniah (Force 136) masih aktif dalam Persatuan Guru-guru Melayu Pahang lebih cenderung bersikap anti penjajah kerana pengalamannya dengan kezaliman tentera Bintang Tiga selepas kekalahan Jepun pada 1945. Tengku Abdul Hamid juga mengambil sikap demikian terhadap British, berbeza dengan kerabat diraja yang lain, yang kebanyakannya pro-British.
Pada 1954, setelah beberapa tahun pergerakan politik dikekang oleh Ordinan Darurat, PAS yang ditubuhkan sejak 1951 telah melebarkan sayapnya ke Pahang dengan melantik Mohd Asri Haji Muda sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur. PAS mula berkembang di Pahang apabila Yassin Mohd Salleh telah terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 1955, diikuti oleh penyertaan beberapa tokoh seperti Tengku Abdul Hamid, Dato’ Abu Samad Ali, Khadijah Yassin, Rasulin Dato’ Sati dan lain-lain menyertai PAS. Pada 14 Januari 1956, Yassin Mohd Salleh, bekas Yang Dipertua PMP yang dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang yang menggantikan Mohd Asri Haji Muda. Dua buah cawangan PAS yang awal telah ditubuhkan di Pahang, iaitu di Pekan dan Temerloh. Tengku Abdul Hamid yang tinggal di Temerloh sejak selepas perang, menjadi Naib Yang Dipertua PAS Temerloh, sedangkan Yassin Mohd Salleh menjadi Yang Dipertuanya. Menjelang akhir 1956, Yassin Mohd Salleh telah meninggal dunia.
Kematian guru politiknya ini telah menyebabkan Tengku Abdul Hamid memangku sebahagian peranan Mohd Yassin dalam kepemimpinan PAS. Pada awalnya, beliau dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan Temerloh, jawatan yang dipegangnya sehingga 1963. Kemudian, Dr Burhanuddin al-Helmy menamakan Tengku Abdul Hamid sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang yang ketiga mulai 1957, satu kejutan kepada politik Tanah Melayu menjelang kemerdekaan itu kerana kebanyakan golongan aristokrat adalah pendukung Umno. Beliau boleh dikatakan putera istana pertama yang aktif dalam kepemimpinan tertinggi PAS, lebih awal daripada Tengku Mohamed ibni Sultan Mohammad IV menjadi wakil rakyat PAS di Kelantan pada 1959. Cabaran terbesar yang dihadapi oleh beliau ialah Pilihan Raya Umum 1959, di mana di peringkat DUN, Pahang adalah negeri terakhir berpilihan raya selepas Terengganu dan Kelantan.
Dalam pilihan raya ini, Tengku Abdul Hamid telah bertanding mewakili PAS di kerusi DUN Rompin, berhadapan dengan calon Perikatan, Ibrahim Arshad, tetapi beliau tewas dengan majoriti 743 undi. Dalam pilihan raya ini PAS tidak dapat menarik sokongan rakyat Pahang kerana organisasi PAS masih lemah dan negeri ini terlalu luas sehingga menyulitkan pergerakan dan komunikasi. Sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang 1957, pada 1959, Tengku Abdul Hamid telah mencadangkan kepada Pejabat Agung PAS supaya organisasi PAS Pahang disusun semula dengan mewujudkan tiga jawatan Pesuruhjaya iaitu Pesuruhjaya PAS Timur, Pesuruhjaya PAS Tengah dan Pesuruhjaya PAS Barat, dengan tujuan untuk meningkatkan kecekapan organisasinya. Bersetuju dengan pandangan ini, pada 1959, Dr Burhanuddin al-Helmy telah melantik Tengku Abdul Hamid sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang Timur, manakala Abdul Aziz Uda dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Tengah, sedangkan Pesuruhjaya PAS Barat masih kosong.
Pada sesi 1961-1962, kedua-dua Pesuruhjaya PAS Pahang Timur dan Tengah itu telah dikekalkan, manakala Mohammad Salleh dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Barat. Ternyata langkah ini telah membuka peluang kepada PAS Pahang untuk berkembang di kawasan Bentong, Raub, Lipis dan Jerantut, berbanding sebelumnya yang terfokus di Temerloh dan juga Kuantan-Pekan-Rompin. Perkembangan ini bertambah rancak apabila bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Abu Samah Ali yang telah bersara dari jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang turut terlibat secara aktif dalam PAS. Sebagai seorang bekas pegawai kanan kerajaan, Dato’ Abu Samah telah diberi laluan oleh Tengku Abdul Hamid untuk memimpin PAS Pahang pada sesi 1962-1963, di mana Yang Dipertua Agung PAS kembali melantik hanya seorang Pesuruhjaya untuk PAS Pahang.
Walau bagaimanapun, hanya setelah beberapa ketika menjadi Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Abu Samah melepaskan jawatan tersebut kerana menghormati Tengku Abdul Hamid sebagai adinda Sultan Abu Bakar. Keadaan ini memaksa Tengku Abdul Hamid memegang semula jawatan tersebut, khususnya dalam memimpin PAS Pahang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 1964. Bagi mengukuhkan PAS Pahang, Tengku Abdul Hamid telah melantik Dato’ Abu Samah sebagai Timbalan Pesuruhjaya, Mohd Ariffin Abu Bakar sebagai Setiausaha, Nik Ahmad Nik Mat sebagai Bendahari dan Ustaz Arif Abbas sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang. Cawangan-cawangan PAS juga semakin bertambah di Pahang terutama di kawasan orang Melayu ekoran penyertaan tokoh-tokoh agama seperti Tuan Guru Haji Hassanuddin Berhala Gantang, Ustaz Jamahir Idris dan lain-lain. Antara cawangan baru di Pahang ketika itu ialah Kampung Batu Kapur, Tanjung Kerayung, Kuala Lipis dan Kerdau yang ditubuh dalam tahun 1956, diikuti oleh Benta pada 1957. Kedudukan PAS menjadi lebih kukuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1964 sehingga menimbulkan kegusaran Umno.
Tekanan yang dihadapi Umno Pahang pimpinan oleh Tun Razak merangkap Timbalan Perdana Menteri telah membawa kepada tindakan untuk menyekat peranan Tengku Abdul Hamid. Umno telah mempengaruhi Sultan Pahang supaya tidak membenarkan keluarga terdekat diraja Pahang terlibat dalam politik kepartian bagi menjaga nama baik Istana, terutama setelah Umno menuduh PAS ada hubungan dengan Komunis dan menyokong Presiden Sukarno dalam isu penubuhan Malaysia. Ekoran itu, Sultan Abu Bakar telah menasihatkan adindanya, Tengku Abdul Hamid supaya tidak lagi terlibat dalam kegiatan politik kepartian, terutamanya PAS yang dianggap sebagai musuh politik Kerajaan Perikatan. Akur dengan nasihat kekandanya, Tengku Abdul Hamid akhirnya mengambil keputusan untuk bersara daripada politik kepartian mulai hujung 1964 dan melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS Pahang yang dipegang sejak 1956, termasuk jawatan Yang Dipertua PAS Temerloh.
Pengenduran aktivisme Tengku Abdul Hamid ini bermula apabila beliau tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964, diikuti oleh pelantikan Dato’ Abu Samah Ali sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-12 pada 22-24 Ogos 1964. Apabila tercetusnya isu Konfrontasi Indonesia pada tahun tersebut, Tengku Abdul Hamid tidak lagi terlibat dalam sebarang aktiviti PAS demi menjaga nama baik Istana Pahang, terutama apabila kerajaan menahan para pimpinan PAS di bawah ISA. Setelah bersara daripada kegiatan politik di atas kehendak istana itu, Tengku Abdul Hamid tidak lagi terlibat dalam mana-mana kegiatan politik kepartian. Beliau hanya memberikan tumpuan kepada kegiatan di istana dan aktiviti sosial yang lain sehingga dilantik sebagai salah seorang pembesar dalam Istana Pahang dan diberikan gelaran Tengku Aria Diraja Pahang serta diberikan gelaran Dato’ oleh Sultan Pahang.
Setelah hampir 50 tahun memberikan khidmat dan sumbangan kepada negeri, termasuk penglibatan aktif beliau dalam perjuangan politik Islam, akhirnya Tengku Abdul Hamid telah jatuh gering ketika usianya mencecah 60 tahun. Tengku Abdul Hamid telah mangkat pada 13 Februari 1987 dalam usia 61 tahun. Sepanjang hidupnya, Tengku Aria Diraja Dato’ Tengku Abdul Hamid dicatatkan pernah mendirikan rumah tangga sebanyak lapan kali iaitu dengan Roqiyah binti Sulong, Tengku Nor Tamar binti Tengku Ahmad, Habibah binti Awang, Hussanah binti Abdullah (mualaf), Tengku Zainunnisa’ binti Tengku Mohammad (sepupu), Aishah, Hazlin binti Abdullah (mualaf) dan Tuan Long. Tengku Abdul Hamid dikurniakan tujuh orang puteri dan 12 orang puteri. Di antara anak beliau yang terkenal ialah Dato’ Tengku Roslan dan Tengku Roshita, Ahli Jawatankuasa Majlis Penganugerahan Negeri Pahang dan juga Pengawas Pakaian Istiadat.
>MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 24/8/2023
Tengku Abdul Hamid: Putera istana di pentas PAS
- Advertisement -