Marang ungguli kejohanan bola sepak, bola jaring PASTI Terengganu

- Advertisement -

DUNGUN: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Marang mengungguli Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Terengganu 2023 apabila diumumkan sebagai Juara Keseluruhan, selepas  dinobatkan sebagai  juara bola sepak dan tempat ketiga bola jaring.

Timbalan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, pasukan bola sepak PASTI Marang telah mengalahkan Kuala Terengganu 3-0, manakala pasukan bola jaring, PASTI Hulu Terengganu muncul Johan setelah mengalahkan tuan rumah, Dungun.

- Advertisement -

“Mohamad Samir Nasri Mohamad Ashari daripada pasukan bola sepak PASTI Marang telah diumumkan sebagai Pemain Terbaik dan Penjaring Terbanyak,” katanya.

Tambah beliau, Nur Raiqa Imanina Rusli dari PASTI Hulu Terengganu terpilih  sebagai Pemain Terbaik Bola Jaring; manakala  Nur Naila Akifi Zakaria telah diumumkan sebagai  Penjaring Terbanyak Bola Jaring di kejohanan yang melibatkan lapan kawasan itu.

Ketika berucap merasmikan sukan tersebut, Mohd Fadhli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata, PASTI adalah medan untuk melahirkan pelajar-pelajar agar menjadi generasi akan datang yang kental menghadapi cabaran masa hadapan.

“Dalam suasana pelbagai cabaran keadaan negara ini sekarang dan akan datang akan menjadi lebih hebat lagi, maka pendidikan pra-persekolahan PASTI inilah yang akan menjadi platform yang kita yakin akan melahirkan  pemuda-pemudi yang akan melahirkan generasi yang beramal soleh. 

“Mereka mampu untuk menjaga diri mereka sendiri sehingga boleh untuk menjadi hamba yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT,” katanya.  – HARAKAHDAILY 24/8/2023