KUALA LUMPUR: Satu laporan polis telah dibuat oleh Muhamad Suffi Kamari terhadap seorang pemilik akaun media sosial X, @X WalaunTercyduk berhubung maklumat peribadinya yang didedahkan oleh pihak tersebut kepada orang ramai.
Beliau yang merupakan Ketua Penerangan Pemuda PAS Gombak berkata, perkara tersebut berlaku pada jam 7 pagi pada hari ini, selepas beliau mendapati posting akaun X tersebut mengandungi maklumat peribadinya seperti nombor kad pengenalan, jumlah insurans dan seumpamanya dalam Skim Insurans Am Selangor.
“Sejujurnya, saya tidak pernah melakukan apa-apa permohonan pun terhadap skim insurans di bawah Kerajaan Negeri Selangor tetapi bagaimana mereka boleh memperoleh maklumat peribadi saya yang sememangnya tepat sedangkan perkara tersebut tidak boleh disebarkan tanpa keizinan?” katanya.
Suffi juga menegasakan bahawa beliau tidak pernah bersetuju untuk membenarkan sesiapa pun untuk mendaftarkan skim insurans tersebut bagi pihaknya.
“Maka, ini merupakan satu tindakan khianat yang sememangnya berpotensi menjejaskan keselamatan saya lebih-lebih lagi apabila maklumat peribadi saya telah dikongsikan kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui HarakahDaily di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Gombak, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Exco Lajnah Isu Rakyat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dewan Pemuda PAS Gombak, Mohd Iqman Iberahim sebagai tanda sokongan terhadap laporan polis tersebut.
Menurut Suffi lagi, skim tersebut adalah di bawah kendalian syarikat Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd yang bertempat di Bandar Perai Jaya Pulau Pinang.
“Seharusnya keselamatan maklumat peribadi seseorang adalah perkara yang jenis tiada ruang membuat kesilapan iaitu tidak boleh dikongsikan secara terbuka serta tersenarai di bawah Akta Perlindungan Peribadi.
“Ini kerana jika perkara sebegini dibiarkan begitu sahaja maka pelbagai perkara buruk boleh berlaku bukan sahaja terhadap saya tetapi juga kepada sesiapa pun,” tegasnya.
Beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut pada jam 2.30 petang tadi sehubungan itu menasihatkan orang ramai agar tidak membuat perkara sebegitu kepada sesiapa pun.
“Tidak salah untuk mempunyai pandangan tersendiri berkenaan apa jua isu politik tetapi tidak bersifat keterlaluan yang boleh memburukkan mana-mana pihak.
“Jadi, saya berharap dengan laporan ini maka pihak polis membuat siasatan mengenai perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap sesiapa yang terlibat dengan adil dan saksama,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2023