
ALOR SETAR: Kakitangan kerajaan negeri Kedah bakal menerima pemberian bantuan khas melibatkan peruntukan berjumlah RM2. 08 juta, menjelang September ini.
Menteri Besar, Dato’Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bayaran sebanyak RM400 setiap seorang akan diterima pada 14 September depan.
“Kita luluskan pemberian bantuan khas kepada kakitangan awam kerajaan negeri sebanyak RM400 melibatkan 5,600 kakitangan.” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco pertama penggal ini, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Menurut Sanusi, sebelum ini pemberian bantuan khas kepada kakitangan kerajaan persekutuan sebanyak RM300 telah diumumkan sempena pilihan raya.
Walau bagaimanapun, pihaknya tidak melaksanakan pemberian bantuan khas itu pada musim kempen pilihan raya kerana bimbang ia akan disalahanggap sebagai sogokan.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memgumumkan pemberian khas kepada kakitangan kerajaan persekutuan sebelum ini sebanyak RM300 sempena pilihan raya.
“Saya tak mau umum waktu kempen takut jadi sogokan pilihan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!