KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan memberi fokus utama kepada tiga perkara bagi memenuhi kebajikan rakyat termasuk menyelesaikan masalah bekalan air, meningkatkan sumber ekonomi dan pembangunan infrastruktur.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan masalah bekalan air secara berperingkat.
Selain itu, memberi keutamaan dengan merancang kaedah terbaik bagi meningkatkan pembangunan ekonomi melalui kekayaan sumber asli dan mineral.
“Memang semua tahu kita berdepan masalah bekalan air. Sebenarnya bukan Kelantan sahaja menghadapi masalah itu, jadi Insya-Allah ia menjadi keutamaan kerajaan negeri.
“Kelantan juga akan mengukuhkan sektor ekonomi melalui kemudahan infrastruktur utama iaitu pelabuhan, lapangan terbang bertaraf antarabangsa dan jaringan lebuh raya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Mesyuarat tersebut merupakan yang pertama bagi penggal ke-15, selepas Pilihan Raya Negeri 12 Ogos lepas.
Ustaz Mohd Nassuruddin juga berkata, kerajaan negeri akan memanfaatkan kepakaran anak-anak Kelantan dengan meningkatkan hubungan strategik antara Kelantan dan negara-negara luar dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Sementara itu dalam perkembangan lain katanya, Kerajaan Kelantan akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Kata beliau, langkah itu bagi mengeratkan lagi hubungan antara kerajan negeri dan Persekutuan.
“Kita (Kelantan) sejak dahulu lagi menjalin hubungan baik dan insya-Allah, kita akan kekalkan hubungan tersebut dengan kerajaan Persekutuan,” ujarnya.
Menurutnya juga dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dirintis arwah Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pada awal 1990-an akan tetap diteruskan. – HARAKAHDAILY 23/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!