
WASHINGTON: Sebarang karya seni yang dihasilkan teknologi kecerdasan buatan (AI) tanpa sebarang input manusia tidak boleh dilindungi hak cipta di bawah undang-undang Amerika Syarikat.
Hakim Daerah AS, Beryl Howell berkata, hanya karya manusia boleh menerima hak cipta; dan dalam keputusan pada 19 Ogos lalu itu, beliau juga mengesahkan penolakan Pejabat Hak Cipta terhadap permohonan yang difailkan oleh saintis komputer Stephen Thaler untuk imej yang dihasilkan menggunakan algoritma mesin kreativiti ciptaannya yang dikenali sebagai DABUS.
Keputusan rasmi itu merugikan Thaler atas bidaannya untuk paten AS yang meliputi ciptaan yang dikatakannya dicipta oleh DABUS, iaitu singkatan kepada Device for the Autonomous Bootstrapping of Unified Sentience.
Terdahulu, Thaler juga telah memohon paten yang dihasilkan oleh DABUS di negara lain termasuk United Kingdom, Afrika Selatan, Australia dan Arab Saudi.
Sehubungan itu, peguam Thaler, Ryan Abbott, pada Isnin (21 Ogos) berkata bahawa beliau dan anak guamnya sangat tidak bersetuju dengan keputusan itu dan akan membuat rayuan.
Pejabat Hak Cipta dalam satu kenyataan, juga pada Isnin pula menegaskan bahawa ia ‘percaya mahkamah telah mencapai keputusan yang betul’
Bidang AI generatif yang berkembang pesat sekarang ini telah menimbulkan isu harta intelek baru, yang meyaksikan Pejabat Hak Cipta juga telah menolak bidaan sekumpulan pelukis atau karyawan seni untuk mendapatkan hak cipta pada imej yang dijana melalui sistem AI Midjourne, walaupun pelukis itu berhujah bahawa sistem berkenaan dalah sebahagian daripada proses kreati mereka.
Beberapa tuntutan mahkamah yang belum selesai juga telah difailkan berhubung hak cipta terhadap karya seni yang dihasilkan melalui AI.
“Kami menghampiri sempadan baharu dalam hak cipta kerana pelukis telah meletakkan AI dalam kotak peralatan karya seni mereka, yang akan menimbulkan ‘persoalan mencabar’ untuk undang-undang hak cipta, tulis Howell di platform media sosial, X pada Jumaat lalu.
“Kes ini, bagaimanapun, tidak begitu rumit,” kata Howell.
Thaler memohon sejak 2018 lagi untuk mendapatkan hak cipta termasuk untuk sebuah karya seni visual berjudul, A Recent Entrance to Paradise yang menurutnya dicipta oleh sistem AI miliknya tanpa sebarang input manusia.
Namun, hanya pada tahun lepas Pejabat Hak Cipta membuat keputusan menolak permohonan Thaler dan berkata karya kreatif mesti mempunyai input manusia untuk berhak meraih hak cipta.
Thaler mencabar keputusan itu di mahkamah persekutuan, dengan alasan bahawa penglibatan manusia dalam sesuatu karya seni bukan keperluan undang-undang yang konkrit dan membenarkan hak cipta AI akan selaras dengan tujuan hak cipta seperti yang digariskan dalam perlembagaan AS untuk ‘menggalakkan kemajuan sains dan seni bermanfaat’.
Howell hanya bersetuju dengan Pejabat Hak Cipta bahawa penglibatan manusia dalam karya seni adalah ‘keperluan asas hak cipta’ berdasarkan ‘pemahaman yang diselesaikan selama berabad-abad’. – HARAKAHDAILY 22/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!