Polarisasi undi mengikut kaum semakin memburuk

- Advertisement -

PADA 14 Disember 2022, beberapa ketika selepas PRU ke-15, saya ada menulis satu artikel di ruang maya mengenai kebimbangan saya terhadap masa depan perpaduan kaum dan integrasi nasional. Premis saya untuk membangkitkan kebimbangan tersebut ialah, polarisasi undi mengikut kaum di dalam PRU ke-15 semakin jelas ketara. Dapatan penganalisis selepas pilihan raya tersebut, pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina yang mengundi PH melebihi 90 peratus, manakala pengundi Melayu yang mengundi PN mencecah 53 peratus. Saya mengunjurkan ketika itu, peratusan pengundi Melayu mengundi PN di masa depan akan meningkat.

Dalam Pilihan Raya Umum peringkat DUN (PRN) di enam negeri baru-baru ini, apa yang saya bimbangkan benar-benar telah berlaku. Di Negeri Selangor, berdasarkan analisis yang kami lakukan, peratusan kaum Cina mengundi PH-BN mencecah 99 peratus, manakala baki satu peratus lagi diberikan kepada parti-parti lain yang bukan PN seperti MUDA dan calon bebas. Peratusan pengundi Melayu mengundi PN pula mencecah hampir 68 hingga 70 peratus dan selebihnya 30 peratus mereka mengundi PH-BN. Peratusan pengundi-pengundi Melayu mengundi PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu pula diyakini mencecah lebih daripada 80 peratus.

Di dalam PRN kali ini, jelas sekali pengundi-pengundi Melayu mula mengundi secara terarah, cuba mengelakkan perpecahan undi dalam kalangan mereka. Saya begitu yakin, trend pengundi-pengundi Melayu mengundi secara terarah bukan disebabkan mereka disogokkan dengan isu 3R seperti yang didakwa oleh pendukung dan penyokong PH, termasuklah satu kumpulan yang menggelar mereka Sekretariat Himpunan Gerakan Islam. Pada pemerhatian saya, trend pengundi-pengundi Melayu mengundi secara terarah sebenarnya adalah respon organik mereka terhadap trend pengundi-pengundi bukan-Melayu yang telah lama mengundi secara terarah.

Trend pengundi-pengundi bukan-Melayu khusus kaum Cina mengundi secara terarah kepada DAP dan sekutunya bermula pada PRU ke-12 tahun 2008. Sejak itu, parti-parti bukan DAP yang turut mewakili kaum Cina seperti MCA dan GERAKAN semakin menyifar sokongan mereka daripada pengundi-pengundi Cina. Kemuncaknya pada PRN baru-baru ini, sehingga hampir 100 peratus sokongan pengundi-pengundi Cina diberikan kepada PH-BN, sehingga calon-calon Cina mewakili PN yang bertanding melawan DAP atau PKR mengalami kekalahan sangat teruk. Manakala MCA pula tidak langsung meletakkan calon untuk bertanding PRN kali ini.

Sebelum ini, pengundi-pengundi Melayu tidak berkecenderungan untuk mengundi secara terarah. Sebelum PRN baru-baru ini, undi kaum Melayu terpecah tiga, iaitu kepada BN, PH dan PN (sebelumnya Gagasan Sejahtera). PH memperolehi peratus sokongan paling sedikit dari pengundi-pengundi Melayu. Dengan bergabungnya PH dan BN sepatutnya peratusan sokongan terhadap PH-BN lebih besar, tetapi situasi ini tidak berlaku. Yang berlaku adalah sebaliknya, peratusan sokongan pengundi-pengundi Melayu kepada PN bertambah antara 15 hingga 20 peratus. Jelas sekali, pengundi-pengundi Melayu mulai belajar untuk mengundi secara terarah.

Sekali lagi, saya melihat polarisasi undi mengikut kaum ini sebagai satu fenomena yang tidak sihat terhadap perpaduan kaum dan integrasi nasional. Demi mencari penyelesaian krisis ini, akar-umbi masalah seharusnya dikenalpasti. Bagaimanakah bermula trend mengundi secara terarah pada PRU ke-12 tahun 2008? Saya mempunyai jawapannya, cuma saya tidak berhasrat mengemukakannya kali ini. Yang penting isu polarisasi undi ini adalah cukup besar, maka semua pihak perlu mencari penyelesaiannya. Janganlah, bila 100 peratus pengundi Cina mengundi PH-BN, itu petanda keharmonian. Bila 70 peratus pengundi Melayu mengundi PN, itu petanda kemelampauan.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI 
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 18/8/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!