Masih sesat walau al-Quran telah diturunkan

Tuan Guru Abdul Hadi menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, hari ini.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun al-Quran telah diturunkan menjadi petunjuk kepada seluruh manusia tetapi masih ada kalangan mereka yang sesat, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Menurutnya, hal demikian kerana mereka menolak peranan hidayah dan berfikir sendiri perjalanan kehidupan dengan menggunakan akal yang tetap bersifat lemah.

Di samping itu, ujarnya ada juga dalam kalangan mereka yang terpengaruh akibat terlalu mengikuti atau terikut-ikut orang lain.

“Antaranya, seperti kalangan para pemimpin yang membawa masyarakat kepada kesesatan,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.

Tambahnya, manakala golongan yang bertaraf cerdik pandai dan bertaraf ahli falsafah pula, mereka tetap berada dalam kesesatan.

Kata beliau, keadaan itu berlaku sekiranya mereka meninggalkan hidayah Allah SWT, atau bersikap takabur dengan menolaknya.

“Betapa bodohnya mereka, sehingga sanggup mengabdikan diri kepada makhluk yang lebih rendah daripadanya dari segi kejadian yang ditentukan oleh Allah SWT seperti batu, binatang dan sebagainya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Kini, kata Tuan Guru sudah ramai ilmuwan yang beriman dan memeluk Islam setelah mereka tergamam dengan kebenaran petunjuk al-Quran.

Begitu juga, ujar beliau setelah mereka mendapati segala kandungan yang terdapat dalam al-Quran menepati dengan hasil kajian yang mereka lakukan dalam lapangan ilmu masing- masing. – HARAKAHDAILY 18/8/2023