UNTUNG jadi Cina. Dahulu, di kampung aku, ada sekeluarga Cina yang membuka perniagaan runcit. Kedainya sentiasa dikunjungi orang ramai untuk membeli barangan keperluan harian. Hampir semua barang dia jual, termasuklah minuman keras. Akan tetapi jualan minuman keras itu agak berhati-hati, kena letak dalam bungkusan kertas supaya tidak nampak, jika orang Islam yang membelinya.
Oh, sebelum aku lupa, nama keluarga Cina ini Mek Chua. Hampir semua pelanggannya adalah Melayu. Anak-anak Mek Chua sentiasa membantu ibu mereka. Ramai sungguh pelanggan keluar masuk. Duit baki dia akan letakkan dalam satu tin besar yang ditarik ke bawah menggunakan takal bila mahu mengambil wang dan akan naik semula ke atas bila dilepaskan kerana ada pemberat di sebelahnya.
Kata kawan aku, nyawa dengan mak ayah sahaja yang tiada dijual di kedai Mek Chua. Kalau barang tiada sekalipun, dia akan kata sudah habis. Namun menjawab kata tiada barang tersebut, tidak sekali-kali.
Dengan muka yang garang, suara pula menjerkah seperti mahu bertumbuk dengan pelanggan adalah suasana biasa di dalam kedainya. Tetapi pelanggannya tetap bertandang mencari barang. Bukan sahaja dia, malah anaknya juga, dengan suara keras disertai muncung yang sejengkal, boleh digantung penyangkut baju, memeluk tubuh, dengan kerlingan yang tajam, mereka melayan pelanggan.
Sementara itu, ada beberapa buah kedai runcit Melayu berdekatan, tetapi tidak berapa maju kerana kurang pelanggan ke sana. Kemudiannya kedai-kedai runcit itu satu demi satu ditutup. Maka Mek Chua terus memonopoli perniagaan runcit di sekitar kawasan itu, malah ada yang tinggal selang beberapa kampungpun, masih sanggup pergi membeli di kedainya walaupun banyak kali timbangannya tidak mencukupi.
Dia menimbang barang di belakang kedai yang tidak dapat dilihat pelanggan. Kebiasaannya pada masa dahulu, alat timbangan berat, tidak dimiliki oleh orang ramai. Jadi pelanggan hanya mempercayai timbangannya sahaja. Hal ini hanya diketahui oleh golongan yang mempunyai timbangan untuk menyemak timbangannya itu. Tetapi walaupun tahu timbangan tidak cukup, waktu itu masih tiada kuasa tular seperti sekarang. Jadi ramai yang tidak tahu.
Masa berlalu, oleh kerana mungkin ada banyak berlaku kehilangan barang, maka Mek Chuapun tidak lagi membenarkan pelanggan masuk sesuka hati ke dalam kedainya. Dia hanya akan melayan pelanggan dari dalam dan pelanggan terpaksa beratur di jeriji kedainya untuk membeli barang. Akan tetapi tetaplah pelanggannya beratur menunggu Mek Chua melayan mereka mengambil barang. Seperti ada sumpahan, mereka tetap datang ke kedai Mek Chua. Mek Chua juga menerima duit Singapura yang ketika itu sudah agak mahal dari Ringgit Malaysia.
Kini, Cina bermain politik pula di kawasan majoriti Melayu dan Melayu pula memberikan kepercayaan kepada calon Cina di kawasan mereka. Akan tetapi, calon Melayu, langsung tidak laku di kawasan majoriti Cina. Hanya aku teringat kes ada Mek Chua dan aku cuba menggantikannya dengan kisah Mamat yang menjalankan perniagaan runcit di Kampung Cina. Tidak perlu beritahu aku akhir kisahnya, aku sudah dapat mengagak bagaimana ia berakhir dan ia akan terjadi dalam masa yang amat pantas.
Untung jadi Cina di kawasan Melayu. Berniaga untung, berpolitik juga untung, kan? Sebab yang tukang buat fitnah nak jatuhkan Melayu, Melayulah juga.
MOHD NASIR ABDULLAH
16 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 16/8/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Orang Cina berniaga untung, berpolitik pun untung
- Advertisement -