KOTA BHARU: Menteri Besar, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud memulakan tugas secara rasmi di MABNA Merakyat Membangun Bersama Islam (MBI) di Kompleks Kota Darulnaim pagi tadi.
Kenderaan yang membawa Adun Meranti itu tiba di pekarangan MABNA MBI pada jam 8.25 pagi disambut Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Hadir sama pengawai kanan kerajaan dan penjawat awam negeri. Bacaan doa juga diadakan sebelum beliau memasuki pejabatnya.
Kemudian beliau mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas sebagai Menteri Besar sebelum sesi bergambar bersama anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Mohd Nassuruddin mengangkat sumpah dan menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Negeri di Kubang Kerian, petang semalam.
Beliau dilahirkan pada 4 Oktober 1965 di Kampung Meranti Pasir Mas.
Mendapat Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Meranti, Sekolah Menengah Arab Pasir Mas, Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu dan peringkat tinggi di Universiti al Azhar, Mesir.
Sebelum ini pernah berkhidmat sebagai guru Yayasan Islam Kelantan (YIK). Pada tahun 1995 bertanding di Dewan Undangan Negeri DUN Meranti dan menang sehingga sekarang.
Pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Kelantan (2005-2008), Speaker DUN (2008-2013) dan anggota Exco Kerajaan Negeri (2013-2023).
Penglibatan dalam PAS sebagai ahli jawatankuasa PAS Pusat, Ketua Penerangan PAS negeri dan Timbalan Yang Dipertua PAS Pasir Mas.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Meranti dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Zahri Omar dengan majoriti 9,154 undi. – HARAKAHDAILY 16/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!