CUBA fikir… Orang Selangor, orang Pulau Pinang, Negeri Sembilan marah betul kat orang Terengganu dan Kelantan yang kerja kat sana, tapi balik mengundi, sokong PAS. Kata mereka, jangan baliklah, duduk saja kat negeri kau yang miskin tu.
Dia tak sedar yang kalau ramai orang kerja atau tinggal di negeri dia, ekonomi negeri dia makin baik, perniagaan makin untung kerana rakyat yang jadi pelanggan makin ramai. Kalau ramai-ramai orang balik, keadaan ekonomi dia akan jadi lembab, pastinya.
Semua negeri itu tak sedar sebab hasil negeri mereka sendiri tidak seberapa, hanya kerana ada pelabuhan dan lapangan terbang yang baik fasilitinya, maka mereka boleh gunakan sebagai tempat pengagihan, penghantaran barang dagangan dan mendapat cukai serta limpahan ekonomi atas aktiviti ini.
Kalau tidak, hinalah negeri mereka, terutama Negeri Sembilan, yang tidak ada hasil, menumpang hasil sebab dekat dengan Selangor. Namun hasil sendiri entah apa. Sekarang barulah ada REE, itu pun sudah dicuri dan Saifuddin Nasution mungkin masih tidak tahu. Jika tidak pastinya beliau menyerang Menteri Besar Negeri Sembilan dari PH itu.
Kalau nak suruh orang Terengganu dan Kelantan balik, boleh sahaja, tetapi berhenti sedut minyak di Terengganu dan Kelantan, bagi semula 100 peratus hasilnya kepada negeri kami, batalkan Perjanjian Petroleum. Kami pun ramai pakar yang boleh uruskan industri ini, anak tempatan. 95 peratus kau menumpang hasil kami.
Dan yang agak pelik juga, bila tiba masa bercuti, Kelantan dan Terengganu terutamanya menjadi destinasi mereka, dipuji dengan keindahan yang memukau. Sehingga suatu ketika Terengganu dibanjiri lebih 10 juta pelancong dan Exco Pelancongan Terengganu mendapat anugerah Hero Pelancongan.
Datang mereka ke negeri kita kerana mahu menikmati keseronokan di sini. Baru mereka tahu kenapa kita tidak kisah dengan dongeng pembangunan yang menggila yang dicadangkan parti mereka yang sebenarnya boleh merosakkan alam seperti di tempat mereka itu.
Kami langsung tidak runsing dengan apa yang kamu definasikan sebagai pembangunan iaitu bangunan pencakar langit, jalan raya yang sesak dan rumah jutaan Ringgit. Kami tenang hidup sebegini, segalanya lengkap, jalan tidak sibuk, makanan kami sedap, bangunan tinggi tidak banyak, tetapi kami tidak mengalami kesusahan hidup. Kerajaan kami sangat prihatin dengan hidup kami, tanpa mengira perbezaan ideologi.
Senang mencari ilmu dunia yang mana Terengganu sentiasa mengungguli peperiksaan utama negara dan juga mudah mendapat ilmu akhirat. Dan bonus paling istimewa, Terengganu sudah bertahun-tahun menjadi juara dengan mempunyai paling ramai genius berbanding rakyat Malaysia di negeri-negeri lain.
Di Kelantan pula, syurga bagi yang suka berbelanja dengan harga yang murah dan pilihan yang sangat banyak. Pernah Tesco Kota Bharu merekodkan jualan tunai harian tertinggi di Malaysia. Rumah mereka bina atas tanah sendiri, tanah tidak mudah dimiliki orang luar. Bila bersara, menikmati hidup di kampung dengan tenang. Hanya sahaja sekarang kerana rezeki itu ketentuan Allah, maka kami tinggal di luar negeri kami. Kami percaya rezeki Allah tidak semestinya di negeri sendiri.
Kau orang di sana, berapa juta kena ada kalau nak beli rumah dan tanah? Kalau setakat sebut harga juta-juta tapi majoriti rumah mahal itu hanya dimiliki bukan-Melayu, hentikanlah cubaan menggiurkan kami dengan harta dunia yang tidak seberapa itu.
Dan jika kami tidak balik mengundi dan menukar alamat kami di sana, kau orang tidak bimbang ke yang Kerajaan PH pula jatuh di sana? Nanti kau orang nak kerja kat mana sebab peraturannya mesti sama, kau kena keluar dari negeri yang bukan PH kuasai, kan? Dan sekarang, kenapa tidak dipanggil semula orang negeri kamu yang menumpang mencari rezeki di Negeri Terengganu dan Kelantan dan mengundi PH, supaya balik?
Paling kelakar, yang hambat Melayu Islam Terengganu dan Kelantan jangan balik ke Selangor dalam video itu pun diragui asal usulnya. Cakap pun ada unsur berbelit-belit. Kita memerlukan lebih ramai ahli dan penyokong PH yang pendek akal sebegini, agar senang untuk kita menjadi Kerajaan di Malaysia kembali. Kerajaan yang buat akta pilihan raya, Kerajaan yang beri kebebasan memilih mana-mana parti, kau siapa?
MOHD NASIR ABDULLAH
15 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 15/8/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Nak halau anak Kelantan, Terengganu dari negeri PH?
- Advertisement -