KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyifatkan pertuduhan berkaitan rasuah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersifat politik yang bertujuan menjatuhkan kewibawaan dan nama baik bekas Perdana Menteri.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berpendapat bahawa perkara itu tidak patut berlaku kerana perbuatan mengheret institusi kerajaan dalam kemelut dan pertikaian politik kepartian boleh menjejaskan keyakinan dan reputasi institusi berkenaan.
“Sebarang penyalahgunaan kuasa dan rasuah sewajarnya diserahkan kepada institusi berkaitan untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan secara bebas, bukan dengan arahan pihak tertentu untuk mengambil tindakan pendakwaan.
“Kegagalan membawa bukti terhadap tertuduh menunjukkan pertuduhan yang dibuat adalah bermotif tertentu. Ini memalukan institusi kerajaan dan dilihat disalahgunakan.
“Oleh demikian, bagi mengelakkkan penyalahgunaan kuasa ini, sewajarnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah kuasa Parlimen bagi menjaga kewibawaan dan integriti institusi tersebut,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau berkata, SPRM kini dilihat seperti tidak bebas dan tunduk kepada kuasa Perdana Menteri.
“Keadaan ini amat serius dan boleh menyebabkan masyarakat hilang hormat terhadap institusi berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/8/2023