DAERAH ini kepongahan warganya memang menjadi bualan masyarakat luar, terpisah subbudaya daripada arus perdana Terengganu dan dalam kelasnya yang tersendiri. Daerah agrarian yang dahulunya mempunyai kerajaan dan istana yang terletak di Kampung Raja Besut, kadang mengundang canda masyarakat luar dengan menggelarkan daerah ini sebagai ‘Republik Besut’.
Besut dengan pusat bandarnya, Jerteh yang mula dibangunkan dalam dekad 1930-an dan 1940-an, berhampiran Sungai Besut yang menyimpan sejuta rahsia pahit manis warga daerah ini. Besut dalam sejarahnya juga mempunyai pondok-pondok pengajian Islam pada zaman dahulu di Kampung Alor Keladi, Padang Luas, Bukit Puteri, Kampung Mat Sara, Kampung Raja, Kampung Nangka dan lain-lain.
Kontradik juga apabila daerah ini terkenal dengan tempat perjudian pada awal abad 20, juga ada tempat persundalan di Kuala Besut. Daerah gelap ini juga meriah dengan jajaran bangsal tomoi dan persilatan, bahkan pertandingan tomoi mampu menarik ribuan manusia di Astaka Jerteh. Sejujurnya, sosiobudaya daerah ini lebih menepati karektor ‘orang Kelantan’ ketimbang orang Terengganu. Suatu masa dahulu warga Besut lebih gemar menggunakan plat kenderaan huruf D berbanding T sehinggalah keadaan berubah pasca 2004.
PAS Besut telah ditubuhkan pada tahun 1957 dan lebih awal daripada itu, dua orang ulama Besut telah menghadiri penubuhan Hizbul Muslimin pada Mac 1948. Perjuangan Islam subur di daerah ini, paralel dengan meriahnya pusat pendidikan Islam.
Besut pada Pilihan raya 1959 ditandingi kerusi Parlimennya oleh Dr Burhanuddin Al Helmi dan Presiden PAS ini berjaya mewakili konstitusi ini menewaskan parti Perikatan/Umno. Saat itu semua DUN di daerah Besut berjaya dikuasai oleh PAS, yang mengesahkan Pantai Timur mula mengambil posisi sebagai kubu PAS walaupun harakatul ummah ini ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1951.
Besut dengan jajaran sekolah pondok, sekolah agama rakyat juga dengan ramai ilmuan Islam memberikan kelebihan kepada PAS. Masjid surau atau balaisah meriah dengan pengajaran kitab oleh lebai-lebai pondok maka tidak pelik jika warganya menyintai perjuangan Islam. Menteri Besar Terengganu pasca Pilihan raya 1959 juga dilantik daripada anak Besut, iaitu Haji Daud Samad.
Dekad 1980-an, daerah ini mencuat namanya apabila dikaitkan dengan radikalisme dan perpecahan masyarakat. Kerajaan menahan tokoh-tokoh PAS Besut di bawah ISA seperti Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Stimat Yusuf, Ustaz Omar Khalid dan lain-lain. Ada ahli PAS Besut yang terlibat dengan tragedi Lubuk Merbau pada tahun 1985, juga ceramah PAS di Kampung Keluang, Besut digempur oleh asap gas pemedih mata pihak keselamatan.
PAS Besut gigih membangunkan markas tarbiah di setiap DUN, meluaskan jaringan pendidikan dan dakwah. Pentadbiran PAS Besut pernah digantung pada tahun 1998 dan kali keduanya pada tahun 2018. Segala mehnah dan tribulasi ini tidak menghalang PAS Besut memperbanyakkan ahli dan menambah cawangan-cawangan di seluruh daerah.
PAS kali kedua memenangi Terengganu pada PRU tahun 1999, dengan gejolak kebangkitan rakyat menolak kezaliman Umno/BN. Pemecatan Anwar Ibrahim oleh Dr Mahathir telah menyimbah api kesedaran rakyat, riuh geger di jalanan anak-anak muda memprotes kebobrokan KKN yang diamalkan oleh rejim. Kawasan ‘Malay Belt’ sangat terkesan dengan kezaliman BN termasuk daerah Besut. Parlimen dan keempat-empat DUN telah dimenangi oleh PAS walaupun setahun sebelum itu berlaku pemecatan kepada beberapa tokoh PAS kawasan ini dan pentadbiran PAS kawasan Besut yang digantung oleh PAS Pusat.
Presiden PAS memberikan mesej yang serius untuk menawan Terengganu dalam PRU14 dengan melantik Dato’ Husain Awang, anak Besut sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu untuk sesi 2017-2019. PRU14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018 telah menyaksikan Terengganu ditawan oleh PAS untuk kali ketiga. Besut paling tercorot dalam penguasaan PAS, hanya menang satu DUN iaitu di Kota Putera. Anak Besut iaitu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Ru Rendang) telah dipilih menjadi Menteri Besar Terengganu.
PAS Kawasan Besut telah menunjukkan keseriusan gerak kerja dan dalam PRUN15 telah berjaya menawan keempat empat DUN. Selama dua minggu yang getir ini petugas -petugas PAS bermandi keringat, mengerah akal dan bermunajat bagi memenangkan PAS di kubu Umno paling kuat di Terengganu ini.
Para petugas pilihan raya datang membantu secara langsung dan tidak langsung di Besut, ada yang datang sejauh Sabah berkampung untuk membantu. PAS memenangi DUN Jerteh, Kota Putera, Kuala Besut dan Hulu Besut, ribuan anak muda tanpa nama menjadi hero dalam menggerakkan arus sokongan kepada PAS. 12 Ogos 2023, insya-Allah tarikh keramat yang akan dikenang oleh rakyat Terengganu apabila memenangi seluruh kerusi DUN sebanyak 32 dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu (PRK). – HARAKAHDAILY 15/8/2023
Penulis ialah AJK PAS Pusat, YDP PAS Besut.