Sanusi beri petua bantu wakil rakyat jaga integriti

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi memberi petua penting untuk membantu ADUN-ADUN PN dapat menjaga integriti diri mereka.

“Petuanya ialah semua ahli-ahli, para-para jentera, pembantu yang telah membantu memenangkan PN di peringkat negeri ini, jangan meronta-ronta, menarik seluar ADUN-ADUN mahukah sesuatu, meminta sesuatu, berharap sesuatu. 

“Menjadi kaya bila berkawan dengan depa ni semua. Benda itu tidak akan pernah ada di Kedah ini. Kita berkawan dengan wakil rakyat, semata-mata kita nak tolong service rakyat sahaja. Apa yang rakyat dapat, apa yang kita dapat hanyalah cukup-cukup untuk kita hidup biasa. 

“Tak ada kelebihan apa-apa daripada orang lain. Itulah yang telah kami jalani selama lima tahun ke belakang. Yang menjadi beban kepada wakil rakyat ni kerana orang di tempat dia tu pemimpin dia ka, pembantu dia ka, penyokong parti dia ka, terlalu meminta-minta. 

“Dia pun tak dak dah, mulalah nak cari. Tinggal kerja pi duk Kuala Lumpur cari projek. Tinggal rakyat di kawasan. Kalau perkara ini berlaku. Kita akan pastikan inilah terakhir dia jadi calon PN di Kedah. Lepas ini tak boleh dah,” ujarnya pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.

Beliau berharap semua pihak adil dalam memberi penilaian berdasarkan keperluan semasa sepertimana dicontohnya mengenai penggunaan kenderaan yang dipakai oleh wakil rakyat.

Menurutnya, ini bukan lagi macam zaman pelita minyak gas di mana wakil rakyat kini perlu bergerak pantas dan cepat, oleh itu memerlukan kenderaan yang sesuai bagi menjalankan tugasnya.

Beliau berharap tidak ada yang mengkritik apabila wakil rakyat membeli kenderaan besar bagi menjalankan tugas berdasarkan keperluannya atau jarak jauh terpaksa ditempuhnya. 

“Ada juga kawan-kawan kita pun. Kata lebih kurang dia suruh kita pakai kereta buruk mampus atas jalan tak apa. Mai program lambat tak apa. Jangan pakai kereta baru. Tak bolehlah lagu itu. Kesianlah kat wakil rakyat yang duduk jauh kawasan luar.

“Orang kampung minta wakil rakyat nak pikul beras. Ada keperluan yang kita faham sekarang ni zaman ni kita boleh terima. Tapi jangan jadi super kaya dengan kedudukan ini,” ujarnya.

Beliau juga semua pihak dapat memerhati dan menasihati wakil rakyat dengan teguran yang sesuai dan bukannya dilakukan secara terbuka di khalayak ramai hingga memalukan maruahnya.

“Apa kesalahan yang nampak, boleh tegur depa, terus tapi jangan tegur depan orang ramai. Sat gi jatuh maruah. Pi habaq kat wakil rakyat. Jangan fitnah. Ada pula tabur fitnahkah ada juga. Dengkikah lagu manakah pi cerita buruk pasal wakil rakyat tak boleh. 

“Satu masalah yang kita hadapi ialah kita sendiri mendedahkan kelemahan kita kepada orang ramai, (konon) wakil rakyat kita masalah. Tapi kerana kita ada krisis dengan dia. Kita WhatsApp pi merata benda buruk yang tak pernah berlaku. 

“Kepada dia kita cerita kat orang. Orang pun percaya pasal kita itu ada jawatan dalam parti. Hat ni tolong jangan buat. Hat ni susah nak ubat,” ujarnya turut mengimbau perkara sama tahun 2018.

Ceritanya, kerajaan yang dipimpin Menteri Besar, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak ketika itu menghadapi kelakuan mereka-mereka yang akhirnya keluar parti menubuhkan PAN.

Katanya, mereka itu menyebarkan perkara-perkara tidak betul dan buruk yang direka kepada rakan dalam kerajaan hingga menyebabkan kekalahan pada PRU2013 dan berharap penyakit itu tidak menimpa kini. – HARAKAHDAILY 14/8/2023

- Advertisement -