Parti politik menang PRN wajib utamakan rakyat

Mohd Zai Mustafa usai sidang media NGO Islam-Melayu Seru Tubuh Kerajaan Ummah Tanpa DAP di Negeri Sembilan dan Selangor yang diadakan di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada hari ini,, 14 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emri)
- Advertisement -

BANGI: Parti-parti politik yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 perlu menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat.

Pengerusi Ummah Mohd Zai Mustafa berkata, mana-mana parti politik yang menang dalam PRN tersebut perlu memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat lebih daripada kepentingan politik.

- Advertisement -

“Ini kerana rakyat telah memberikan undian kepada calon dalam parti-parti berkenaan dalam kawasan mereka maka mereka perlu menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan sama ada peringkat negeri mahupun persekutuan untuk menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira sebarang kepentingan politik.

Tambahnya, tiada sebarang alasan perkara tersebut tidak boleh dilakukan memandangkan  setiap rakyat inginkan negara yang aman dan stabil.

“Maka, perkara pertama yang perlu diberikan oleh kerajaan negeri dan persekutuan ialah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk setiap rakyat dan bukannya kepentingan peribadi semata-mata,” tegasnya kepada HarakahDaily.

Mohd Zai ditemui usai sidang media NGO Islam-Melayu Seru Tubuh Kerajaan Ummah Tanpa DAP di Negeri Sembilan dan Selangor yang diadakan di Hotel Tenera, di sini, hari ini.

Menyentuh tentang isu ekonomi, beliau menegaskan agar setiap parti politik perlu mempunyai persefahaman dalam menyediakan pelan strategik bagi menghadapi setiap masalah kos kenaikan sara hidup yang dihadapi rakyat, khususnya golongan B40.

Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 menyaksikan PERIKATAN NASIONAL (PN) kekal menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala Pakatan Harapan pula di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Ini kerana rakyat sudah terbeban dengan masalah-masalah ekonomi yang sedia ada seperti kos sara hidup, kenaikan harga barang, belenggu-belenggu hutang dan seumpamanya.

“Maka, setiap parti politik di negara ini perlu memberikan sepenuh perhatian mengenai isu-isu tersebut dan bukan lagi bermain sentimen-sentimen politik memandangkan PRN sudah pun berlalu,” hujahnya.

Beliau mengakui majoriti rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa sudah tidak mahu lagi mendengar sebarang sentimen politik semata-mata termasuk  isu 3R;  kerana menurutnya, rakyat inginkan ekonomi mereka dijaga dengan sebaik-baiknya lebih-lebih lagi ketika menghadapi pelbagai krisis kewangan.

“Maka, saya ingin menegaskan agar  kerajaan negeri dan persekutuan untuk memberikan sepenuh perhatian mengenai setiap isu ekonomi rakyat dan tidak lagi memainkan sentimen-sentimen politik termasuklah 3R.

“Ini kerana isu seperti 3R termasuklah Raja-Raja Melayu, Agama Islam dan hak istimewa bangsa Melayu perlu dihormati oleh setiap pihak memandangkan perkara tersebut telah termaktub dalam perlembagaan maka berhati-hati jika ingin berpolitik sekalipun,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!