Negeri Sembilan – kubu PH-BN yang retak

- Advertisement -

Kemenangan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, sekali pandang kelihatan meyakinkan.

Ini kerana PH-BN sebagai suatu gabungan politik berusia lapan bulan berupaya mempertahankan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

- Advertisement -

Selain itu, pakatan berkenaan berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga selepas memperoleh kemenangan di 31 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun dua kali pandang, kejayaan PH-BN bukan sesuatu yang menakjubkan, sebaliknya pemimpin PH-BN kini perlu bimbang dengan prestasi kemenangan itu.

Kualiti kemenangan PH-BN menjunam

Jumlah kerusi yang PH-BN menang merosot daripada 36 kepada 31 kerusi DUN, iaitu berkurangan sebanyak lima kerusi. PH menang 20 kerusi dalam PRU14, tetapi kali ini berkurangan kepada 17 kerusi. BN pula hanya menang 14 kerusi, berbanding 16 sebelum ini.

Ini menunjukkan Negeri Sembilan tidak lagi boleh berbangga dengan label kubu kuat PH-BN seperti dalam PRU15 lalu apabila semua lapan Parlimen dimenangi calon PH-BN.

Dari sudut kualiiti kemenangan, analisis secara mendalam terhadap prestasi kemenangan PH-BN menunjukkan banyak kerusi yang dimenangi mencatatkan majoriti undi di bawah 1,000 undi.

Sebanyak 10 kawasan DUN mencatatkan kemenangan kurang menyakinkan itu. Daripada jumlah itu, lapan DUN dimenangi oleh BN, iaitu Lenggeng (majoriti 685 undi), Senaling (662), Palong (564), Sungai Lui (535), Jeram Padang (693), Juasseh (78), Sri Menanti (370) dan Kota(135).

Dua lagi dimenangi oleh PKR, iaitu Ampangan (329) dan Klawang (577).

Ini bermakna lebih 50 peratus daripada kemenangan calon BN atau secara khusus, Umno adalah dengan majoriti undi bawah 1,000 undi, suatu perkembangan yang pasti merisaukan kepimpinan parti itu.

Kemenangan meyakinkan calon PN

Walaupun PN hanya menang lima kerusi DUN, iaitu Serting, Paroi, Gemas, Bagan Pinang dan Labu, kemenangan itu meyakinkan.

Selain DUN Serting yang mencatat majoriti undi bawah 1,000 undi, iaitu sebanyak 843 undi, jumlah undi di kawasan DUN lain pasti menyebabkan kepimpinan PH-BN tidak senang duduk.

Majoriti undi di DUN Paroi adalah sebanyak 5,539 undi, Bagan Pinang (3,426), Gemas (3,120) dan Labu (1,640).

Secara keseluruhan, sokongan popular pengundi Negeri Sembilan terhadap PN adalah sebanyak 37.7 peratus, berbanding hanya 22 peratus ketika pertembungan peringkat parlimen ketika PRU15, suatu peningkatan signifikan kerana pertambahan sebanyak 15.7 peratus.

Ini menunjukkan terdapat aliran peningkatan sokongan pengundi atau rakyat Negeri Sembilan secara keseluruhan terhadap PN.

Suara PN dalam Dewan Undangan Negeri

Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, menyifatkan kemenangan di lima DUN akan membawa suara PN dalam DUN Negeri Sembilan.

“Pada saya, ini suatu pencapaian yang baik, diharapkan dengan kemenangan lima kerusi ini, insya-Allah kami akan ada asas untuk bertapak untuk kami bergerak secara lebih berkesan selepas ini,” katanya.

Jika kerajaan di bawah pentadbiran PN di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu terus menunjukkan pentadbiran berintegriti, cekap dan prorakyat, selain prestasi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang cemerlang, bukan mustahil PN membawa perubahan lebih besar di Negeri Sembilan dalam PRU/PRN akan datang. – HARAKAHDAILY 14/8/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -