SEREMBAN: Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha menyifatkan pencapaian lima kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini adalah satu permulaan yang baik di negeri Adat Perpatih ini.
“Dan insya-Allah kita sudah mula bertapak, daripada tidak ada, daripada kosong (kerusi), sekarang kita sudah ada lima kerusi.
“Bermakna kita akan ada wakil di Dewan Undangan Negeri untuk membawakan suara para pengundi,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.
Mengulas tentang kekalahan PERIKATAN NASIONAL di beberapa kerusi dengan majoriti sangat tipis seperti di DUN Lenggeng dan Sungai Lui beliau berkata bahawa ia menunjukkan pencapaian yang baik yang ditunjukkan dalam pilihan raya kali ini.
“Dan saya percaya kepada pencapaian ini, dengan majoriti yang kecil ini saya berjaya ia tidak akan mematahkan semangat bagi calon-calon kita di DUN berkenaan.
“Saya juga percaya bahawa gerak kerja akan diteruskan untuk kita memikirkan semula, melihat semula, malah melipatgandakan usaha.
“Jadi ini saya percaya akan menjadi satu dorongan galakan kepada pengundi-pengundi di DUN-DUN berkenaan,” ujar beliau dalam sidang media di sini, malam tadi.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua jentera sama ada tempatan dan negeri bantu dari Melaka, Pahang dan Johor yang telah bekerja keras sehingga berjaya mencapai keputusan itu.
“Bagi pihak PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada negeri-negeri bantu berkenaan. Begitu juga kepada jentera-jentera tempatan Negeri Sembilan.
“Saya kira apa yang telah dilakukan itu usaha yang bersungguh-sungguh adalah merupakan suatu petunjuk bahawa kita sebenarnya sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha menghadapi pilihan raya,” kata Rafiei.
Lima kerusi yang sah dimenangi oleh PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan ialah Serting yang disandang Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa, Labu (Mohd Hanifah Abu Baker), Paroi (Kamarol Ridzuan Mohd Zain), Bagan Pinang (Ustaz Abdul Fatah Zakaria) dan Gemas (Ridzuan Ahmad). – HARAKAHDAILY 13/8/2023