MARANG: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap kepimpinan kerajaan pusat berlapang dada dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
Katanya, kerajaan pusat perlu menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat negeri ini pasa PRN kali ini.
“Jadi kita mengharapkan perkara sama di kerajaan pusat untuk turut berlapang dada dan menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat negeri Terengganu dengan kerajaan pusat juga dengan pelbagai agensi dan kementerian berlapang dada dan boleh berbincang dengan kami dengan cara matang.
“Pada saya tidak ada masalah kerajaan negeri dan persekutuan untuk bekerjasama,” ujarnya yang memenangi kerusi Dun Ru Rendang untuk penggal kedua.
Menurutnya, ini kerana semua bentuk kerjasama antara negeri dan persekutuan adalah termaktub dalam Jadual Sembilan, di bawah bidang kuasa masing-masing.
“Ada bidang kuasa pusat, negeri dan bersama. Bila sebut bidang kuasa bersama orang yang merangka Perlembagaan pada waktu dahulu telah melihat bahawa perlunya kerjasama di antara negeri dan pusat.
“Tinggal lagi ialah bagaimana penerimaan di pihak kerajaan pusat,” ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.
Bagi kerajaan negeri, jelasnya sangat terbuka dan berlapang dada untuk berhubung dengan kerajaan persekutuan dalam apa jua isu dan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.
Dr Samsuri juga berkata, akan memperincikan mengenai cadangan kerajaan negeri lebih ‘tally’ dengan kerajaan persekutuan dari segi founder dan penjanaan semua.
“Bab ini kita akan perincikan dalam satu majlis yang lain sebab tentunya kepimpinan baru akan menawarkan beberapa perkara yang akan dilaksanakan selain daripada janji manifesto bagaimana nak menambahbaik pentadbiran, antara kerajaan negeri dan pusat.
“Jadi perincian itu akan disebut setelah kita membentuk kabinet di peringkat negeri, tentulah ada majlis bersama dengan pihak awam ataupun media, kita akan perinci daripada situ,” katanya.
Pada PRN semalam, PERIKATAN NASIONAL memenangi semua 32 kerusi Dun dengan majoriti yang lebih besar berbanding PRU14 lalu.
Calon PN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak, Datuk Ahmad Amzad Hashim turut mempertahankan kemenangan yang diperolehi pada PRU15 lalu dengan majoriti lebih besar. – HARAKAHDAILY 13/8/2023