KOTA BHARU: Lebih 50 mudir dan penyelia pondok seluruh Kelantan sepakat menyatakan kewajipan untuk mempertahankan kerajaan negeri yang diterajui PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.
Mewakili pondok-pondok Kelantan, Ustaz Abdul Halim Derani berkata, dasar Membangun Bersama Islam (MBI) wajib dipertahankan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira anutan agama dan bangsa.
Katanya, dalam tempoh 33 tahun kepimpinan PAS di Kelantan tidak ada seorang pun pemimpin kerajaan negeri disabitkan dengan sebarang salah laku dan penyelewengan dihadap ke mahkamah.
“Dalam resolusi ini kami menegaskan bahawa semua pondok di Kelantan akan berdiri teguh di belakang gerakan Islam dalam memastikan segala tuntutan Islam dapat dilaksanakan di negeri ini.
“Selain itu kami juga menyeru agar kita bersama-sama mempertahankan kerajaan negeri ini atas dasar Membangun Bersama Islam,” katanya pada perjumpaan khas dengan ulama di Pondok Pasir Tumboh petang semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Jemaah Tadbir Pondok Pasir Tumboh berkata,
ulama pondok meminta rakyat Kelantan memilih pemimpin yang berintegriti dalam mentadbir kerajaan negeri.
Malah katanya, integriti perlu dijadikan ukuran dalam memilih kepimpinan setiap lima tahun sekali kerana pemimpin yang jujur mempunyai nilai moral tinggi.
Beliau juga menegaskan Islam melalui tauladan Rasulullah s.a.w menetapkan kriteria untuk memilih pemimpin yang akan mengemudi pemerintahan seperti sidik, amanah, tabligh dan fathonah.
“Mereka sentiasa takut kepada Allah kerana mereka yakin bahawa Allah sering memerhati sebarang tingkah laku dan setiap tutur kata pemimpin,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!