PASIR MAS: Masalah tekanan rendah yang dihadapi pengguna di sekitar Meranti dijangka dapat diatasi sepenuhnya dengan siapnya Loji Rawatan Air (LRA) Mini Meranti Baharu.
Anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Mohd Nassurudin Daud berkata, pembinaan loji tersebut sekarang sudah mencapai lebih 90 peratus dan dijangka beroperasi pada akhir Ogos ini.
Katanya diharap dengan pengoperasian loji rawatan air tersebut dapat menampung 3,000 pengguna baharu dan menyelesaikan masalah tekanan air bagi pengguna lama.
“Alhamdulillah ini adalah antara usaha yang digerakkan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah air di kawasan sekitar Meranti dan Pasir Mas,” katanya selepas melawat loji terbabit semalam.
Hadir sama Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Dr Nazmi Ghazali Azmi dan pegawai-pegawai kanan AKSB.
Dr Nazmi pula berkata, LRA Mini Meranti Baharu dibina bermula 9 Februari 2022 mampu mengeluarkan kapasiti air sebanyak 6 juta liter sehari.
Katanya, sumber air loji terbabit diambil dari bawah tanah menggunakan empat telaga tiub.
“Kerja-kerja pembinaan sudah siap lebih 90 peratus dan sekarang peringkat pemasangan elektrik dan selepas itu akan diadakan ujian serta pentauliahan sebelum pelepasan air dilakukan,” katanya.
Menurutnya juga loji tersebut yang dibina dengan kos RM10.2 juta mampu menampung 3,000 akaun pengguna termasuk meliputi Kampung Meranti, Berangan, Telir Tua, Kampung Belukar, Kubang Batang, Pohon Tanjung, Bakong dan Kampung Rusa. – HARAKAHDAILY 11/8/2023