Kemelut tanah FELDA Bilut: Tunggu MB Kedah ‘settle’?

- Advertisement -

PADA 5 April 2013, lebih 100 orang anak-anak peneroka generasi kedua FELDA Lurah Bilut, FELDA Pertama di Dunia bersama NGO Generasi Kedua (GEN-2) berkumpul secara aman di hadapan Pejabat FELDA bagi menyerahkan satu memorandum tuntutan terhadap pihak pengurusan FELDA.

Antara tuntutan terbesar GEN-2 terhadap pengurusan FELDA adalah Projek Perumahan Generasi Kedua FELDA Lurah Bilut dan tanah seluas 840 ekar diberikan kepada generasi kedua samada untuk tujuan penempatan atau aktiviti pertanian.

Tonton di sini:

- Advertisement -

https://youtu.be/S5mHfi6R7zw

https://youtu.be/qihYQeSTs3A

Selang beberapa minggu, Menteri Besar (MB) Pahang ketika itu, Dato’ Sri Diraja Adnan Yaakob atau lebih mesra dengan panggilan ‘Long Nan’, telah turun ke FELDA Lurah Bilut dalam satu program menjelang Pilihan Raya Umum ke -13.

Bertempat di Dewan Orang Ramai FELDA Bilut, beliau berjanji di hadapan peneroka dan generasi kedua bahawa isu tanah FELDA Bilut bakal selesai tidak lama lagi. 

“Atas permintaan Kerajaan Negeri dan dipersetujui oleh FELDA, keutamaan dalam pelaksanaan program perumahan generasi kedua akan diberikan kepada rancangan tanah ini, bersandarkan hakikat ia merupakan rancangan tanah terawal di negara ini.

“Permintaan yang disusuli dengan persetujuan ini dicapai pada pertemuan kedua-dua pihak, pada sesi taklimat yang FELDA berikan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Februari lepas (2013) lagi…”

Sumber:

http://khabarpahang.blogspot.com/2013/04/utamakan-felda-lurah-bilut-rancangan.html?m=1 

Sejak itu anak peneroka Bilut duduk mengelamun sambil tersengih-sengih menunggu khabar tuntutan tanah pertanian dan tapak rumah generasi kedua daripada pihak kerajaan negeri.

Dari tahun ke tahun sejak 2013, 2015, 2017, 2018, perbincangan terus dilakukan NGO Generasi Kedua FELDA (GEN-2) Lurah Bilut, diketuai pengerusinya, Zulkifli Abdullah Amlaki ‘menjolok’ pihak pengurusan FELDA melayan tuntutan.

Malangnya, menjangkau lebih sepuluh tahun anak FELDA Bilut termenung menanti buah tak jatuh-jatuh (tak tahu spesies apa buah ni degil sungguh), hari ini mereka mendapat tahu tanah yang diperjuangkan selama ini sebenarnya sudah ‘berpenghuni’ dan diceroboh sejak tahun 2010 lagi.

Bukti bersurat menunjukkan bahawa satu Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan pernah diadakan di Pejabat Tanah Bentong pada tarikh 11 Mac 2010, berhubung isu pencerobohan tanah FELDA Bilut itu.

Rentetan itu, pada 18 Mac Pejabat Tanah Dan Galian Pahang (PTG) telah mengeluarkan satu surat kepada Pengurus FELDA Lurah Bilut, meminta maklum balas ataupun cadangan tindakan yang bakal diambil berhubung pencerobohan itu.

“Tuan Pengerusi memaklumkan mengena arahan Pihak Berkuasa Negeri melalui Pejabat Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pahang menghendaki supaya tindakan penguatkuasaan bersepadu diambil terhadap penerokaan dalam kawasan FELDA Lurah Bilut Mukim Bentong, Daerah Bentong”.

Pengurus FELDA Lurah Bilut memaklumkan pencerobohan tanah kawasan FELDA Lurah Bilut seluas 3.41 hektar telah dilakukan oleh anak peneroka sendiri dan warga asing dari Bangladesh dan Indonesia untuk menanam pisang dan pokok kelapa sawit.

“Pihak FELDA telah menampal notis di laluan-laluan masuk ke kawasan tersebut. Kes ini telah diangkat ke pihak PTG mengikut kehendak FELDA yang menghendaki penangkapan dilakukan tanpa melibatkan pemusnahan tanaman”.

Mana janji FELDA kepada anak-anak peneroka generasi kedua FELDA Lurah Bilut?

Status tanah dan rumah generasi kedua yang pernah di’wayang’kan separuh jalan oleh pihak FELDA pada tahun 2018 menjelang program ‘Transformasi FELDA 2.0’ juga kini tinggal ibarat ‘gajah putih’ tidur mati.

Sumber:
https://harakahdaily.net/index.php/2020/11/09/rumah-generasi-baharu-rindu-bayangan-anak-felda/

Sumber:
https://harakahdaily.net/index.php/2020/11/10/berikan-jaminan-milik-tanah-kepada-generasi-felda/

Tahukah anda, samada peneroka dan anak generasi kedua sekalian bahawa tempoh pajakan tanah 99 tahun FELDA bagi Lurah Bilut hanya berbaki kurang 30 tahun lagi?

Selepas tempoh itu, pihak berkuasa berhak mengambil semula tanah peneroka untuk tujuan pembangunan atau sebarang apa jua tujuan pada bila-bila masa.

Peneroka atau si pentadbir tanah sambil tersenyum perlu menyerahkan kembali ‘Land for the landless’ yang telah diteroka oleh bapak dan datuk nenek mereka selama ini.

Sumber:
https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2019/05/564475/eksklusif-tak-boleh-pindah-milik 

Penulis bersama mantan SU NGO Generasi Kedua (GEN-2) Lurah Bilut, Cikgu Tuah Tonel ke Kuala Lumpur baru-baru ini menyusur jejak mantan Pengerusi GEN-2 Lurah Bilut.

Zulkifli, 67 atau lebih dikenali dengan nama ‘ujang maliki’ adalah generasi kedua FELDA Bilut yang konsisten berjuang dan berusaha menuntut hak anak FELDA Bilut sejak sekian lama.

Apabila penulis menggamit dan mencuit kembali isu tanah dan penempatan generasi kedua Bilut, beliau masih istiqomah dan bersemangat berbicara mengenai ‘luka’ lama.

“Cikgu boleh hello saya pada bila-bila masa saja, saya sedia bantu, saya tidak pernah putus asa berjuang menuntut hak anak Bilut,”

Beliau dan anak-anak generasi kedua, ketiga, keempat dan kelima FELDA Lurah Bilut, bukanlah siapa-siapa, bukan orang besar mahupun ahli politik pemegang kuasa. 

Jika orang besar atau ahli politik yang diberi kuasa tak boleh harap menjaga kebajikan generasi FELDA, tak kuasa mendengar suara dan rintihan anak-anak peneroka menagih sebidang tanah bercucuk tanam dan membina sebiji rumah, siapa lagi boleh diharap? 

Tak kan nak tunggu Menteri Besar Kedah turun baru setel?

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 11/8/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -