Bersedia dengan serangan hendap saat akhir

Dato' Dr Alias Razak
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu mendapat maklumat bahawa dalam keadaan terdesak pihak lawan akan melancarkan serangan hendap bermula lewat petang ini sehingga ke tengah malam nanti.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Alias Razak berrmacam-macam fitnah dan berita palsu akan disebarkan kepada orang awam menerusi pelbagai platform.

“Saya mohon orang awam agar tidak terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan itu dan segera menyekatnya daripada disebarkan ke mana-mana saluran lain,” ujarnya pada sidang media di Pusat Media PAS Terengganu, di sini hari ini.

Beliau juga berkata, program yang dianjurkan oleh BN-PH di Terengganu dilihat juga mendapat sambutan yang ‘luar biasa’ sekalipun menggunakan jentera kerajaan.

“Sama ada Program Jelajah Perpaduan Madani bersama PMX sendiri atau program lain yang dihadiri oleh TPM, Menteri Pengangkutan, Menteri Kesihatan dan beberapa yang lain dilihat tidak mendapat sambutan yang sepadan dengan status program dan tokoh yang hadir,” ujatnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menambah, jumlah kehadiran yang jauh sangat sedikit berbanding program PAS dan publisiti mengenai program yang diadakan itu juga tidak meriah dan tidak meluas.

Kata beliau, sebenarnya senario itu terjadi bukan sahaja kerana penolakan rakyat terhadap gabungan BN-PH tetapi kerana persaingan dan permusuhan antara parti komponen dalam gabungan ini.

Tambahnya, lebih parah lagi apabila wujudnya usaha untuk menjatuhkan sesama sendiri dalam BN seperti yang telah terbongkar beberapa hari mutakhir ini.

Jelas sekali, ujar beliau bahawa jenama ‘perpaduan’ yang ditempelkan kepada gabungan itu hanya bersifat kosmetik untuk menipu rakyat.

“Justeru, adalah tidak munasabah untuk rakyat memberikan sokongan kepada gabungan yang rapuh seperti ini untuk membentuk kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2023