10 tawaran melengkapkan keperluan rakyat Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Saya mengharapkan agar rakyat Terengganu dapat melihat 10 tawaran baru yang kita tawarkan ini sebagai tawaran yang melengkapkan peluang yang diperlukan oleh kebanyakan rakyat di negeri ini,” kata Setiausaha PAS negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

- Advertisement -

Menurutnya, 10 tawaran itu sebagai bukti komitmen PAS negeri akan memastikan kerajaan yang dipimpin nanti akan melaksanakan perkara itu untuk manfaat seluruh rakyat.

“Jadi saya mengharapkan agar rakyat Terengganu dapat mengundi PAS dalam pilihan raya umum negeri pada 12 Ogos ini yang seterusnya insya-Allah akan menjadikan satu komitmen kepada kerajaan baru yang akan dibentuk ini untuk melaksanakan 10 tawaran baru ini,” ujarnya.

Beliau yakin berdasarkan pada pengalaman kerajaan PAS yang lepas, 10 tawaran itu akan dilaksanakan semaksimum dan sebaik mungkin.

“Kelak memberikan manfaat dan kebaikan kepada semua rakyat di negeri Terengganu, negeri maju, berkat dan sejahtera, insya-Allah,” katanya yang mempertahankan kerusi Dun Wakaf Mempelam pada PRN kali ini.

Wan Sukairi juga berkata, rakyat amat gembira dengan pelaksanaan 20 tawaran dalam manifesto PAS negeri pada penggal lalu.

Menurutnya, ia berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) mengenai penerimaan rakyat terhadap 20 tawaran yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Kerajaan ada meminta pada pihak ketiga yang disediakan oleh TSIS untuk buat kajian sejauh mana penerimaan rakyat terhadap 20 tawaran yang telah kita tawarkan sebelum ini dan telah pun kita laksanakan dan hasilnya rakyat cukup gembira dan menyambut baik terhadap 20 tawaran yang telah pun kita laksanakan itu,” ujarnya.

Katanya, tawaran itu sememangnya sangat membantu rakyat terutamanya keluarga B40 yang mana anak mereka perlu mendapatkan lesen motosikal.

Menurutnya, kos untuk menyiapkan lesen motosikal setiap seorang paling kurang melibatkan kos RM250 hingga RM350.

“Jadi paling kurang satu keluarga ibu bapa telah pun jimat RM350 untuk menyelesaikan lesen motosikal anak mereka.

“Kalau mereka tidak ada lesen memberi akibatnya bukan sahaja keselamatan anak-anak tetapi ia juga akan terdedah dengan saman sehingga menyebabkan banyak lagi masalah kewangan yang akan menimpa ibu bapa,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya dengan adanya tawaran Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera daripada kerajaan itu bukan sahaja ibu bapa dapat meringankan bebanan untuk membuat lesen kepada anak tetapi terhindar daripada dikenakan saman.

Tambahnya, dalam masa yang sama anak-anak dapat mengetahui peraturan dan undang-undang jalan raya untuk keselamatan mereka sendiri. – HARAKAHDAILY 10/9/2023

- Advertisement -