
SHAH ALAM: Pertubuhan Proklamasi Orang Melayu Malaysia (POM) menggesa kerajaan Negeri Selangor memberikan penjelasan susulan dakwaan projek Selangor Maritime Gateway yang dirunding secara terus antara Berjaya Land, Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLSB) dengan Kerajaan Negeri Selangor tanpa tender terbuka.
Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah berkata, kerajaan negeri perlu menjelaskan bagaimana keputusan menjalinkan kerjasama bersama syarikat swasta yang lebih menguntungkan mereka daripada berbanding rakyat itu diluluskan.
“Persoalan awal di sini adalah, bagaimanakah kerajaan negeri Selangor membuat keputusan untuk menjalin kerjasama sedemikian rupa sehingga memberi kepentingan majoriti kepada syarikat swasta yang dipertanggung jawabkan untuk keria-kerja yang amat penting ke atas Sungai Klang, yang turut melibatkan risiko bencana banjir jika tidak diurus dengan baik?” katanya dalam satu sidang media Isu Selangor Maritime Gateway (SMG) di sini, tengah hari tadi.
Beliau mempersoalkan keputusan itu setelah berpendapat bahawa perubahan terma dalam menilai dan menerima syarikat swasta akan merugikan kerajaan negeri dan berpotensi memberi risiko yang tidak baik khususnya kepada rakyat selangor.
“Bagaimanakah proses pemilihan Berjaya Land dalam usahasama yang sebegitu intim, memandangkan skop dan terma sudah pun berubah daripada RFP awal?
“Bagaimana pula dengan komitmen dan implikasi tanggungan kewangan kerajaan negeri ke atas projek ini, sama ada pada waktu semasa dan juga kemungkinan untuk di masa hadapan?” soalnya.
Selain itu, Ibrahim Shah juga mempersoalkan tentang status tanah yang akan digunakan untuk kegunaan projek tersebut, yang kemungkinan besarnya akan menggunakan tanah kerajaan negeri. Tegasnya, ini akan menambah implikasi liabiliti hutang kepada kerajaan.
“Timbul juga persoalan status hak milik dan penggunaan tanah Kerajaan negeri dalam mengusahakan dana kewangan untuk projek ini, yang turut berpotensi melibatkan implikasi liabiliti hutang,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pembinaan infrastruktur seperti projek pemuliharaan Sungai Klang ini diserahkan kepada syarikat bawah milik penuh MBI termasuklah Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan lain-lain.
Menurutnya lagi, syarikat-syarikat tersebut berkepakaran dalam memajukan tanah dan berupaya melindungi kepentingan dan aset negeri.
“Kerajaan negeri Selangor memiliki banyak syarikat yang berkepakaran dalam memajukan tanah di bawah milik penuh MBI termasuk Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan lain-lain.
“Memandangkan projek yang berkepentingan rakyat in begitu diselubungi kontroversi dan melibatkan pelbagai persoalan, kami mencadangkan untuk projek ini dibatalkan dan diserahkan kepada PKNS,” tegasnya.
Terdahulu, kenyataan media pemilik akaun Facebook CheGuBard Original yang dimuatnaik berkaitan Projek Mitigasi Banjir Sungai Klang di bawah Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) Kerajaan Negeri Selangor.
Pemilik akaun Facebook tersebut (CheGuBard) telah menyatakan beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahad lalu, dengan menyerahkan 200 helai dokumen sokongan bukti bahawa projek bernilai RM700 Juta tersebut tidak dikawal oleh Kerajaan Negeri Selangor sepenuhnya.
Turut dilampirkan dalam laporan tersebut berkenaan bukti projek SMG dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada syarikat LLBSB tanpa melalui proses tender terbuka, hutang LLBSB telah dilupuskan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan penglibatan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam syarikat LLBSB sebagai Pengarah syarikat tersebut. – HARAKAHDAILY 9/8/2023