ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dengan pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
Beliau berkata, peratus pengundian awal yang direkodkan melebihi 90 peratus semalam diarap dapat dikekalkan pada hari penentuan Sabtu ini.
“Terima kasih kepada semua yang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih semalam, bukan sahaja melibatkan anggota keselamatan tetapi juga pasangan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang semalam.
Semalam, seramai 6,839 anggota polis serta isteri di Kedah terlibat dalam proses pengundian awal membabitkan 38 saluran dan 21 pusat pengundian awal.
Jumlah itu juga melibatkan 710 pegawai kanan dan 5,976 anggota serta 153 isteri anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 Kulim dan Bukit Kayu Hitam.
Proses pengundian awal di Sekolah Kebangsaan Kem Lapangan Terbang Sungai Petani melibatkan sejumlah 4,755 anggota tentera dan pasangan.
Jumlah pengundi awal di Kedah iaitu seramai 1,366 (Langkawi), 34 (Jerlun), 2,559 (Kubang Pasu), 212 (Padang Terap), 2,318 (Pokok Sena), 659 (Alor Setar), 69 (Kuala Kedah) dan 211 (Pendang).
Sementara, Jerai (311), Sik (174), Merbok (5,249), Sungai Petani (185), Baling (352), Padang Serai (81, Kulim Bandar Baharu (1,516) yang melibatkan keseluruhan 15,296 pengundi.
Sehubungan itu, Muhammad Sanusi turut merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bertugas termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), media dan agensi kerajaan.