FREJUS: Mahkamah Perancis telah membatalkan larangan terhadap pakaian mandi wanita yang menutup seluruh badan yang dikenali sebagai burkini, di bandar selatan negara itu, Frejus berikutan cabaran undang-undang yang dikemukakan oleh Liga Hak Asasi Manusia.
Larangan itu yang digubal oleh Datuk Bandar Frejus, David Rachline, seorang ahli Perhimpunan Kebangsaan Perancis paling kanan, kononnya bertujuan untuk memastikan kebersihan dan keselamatan untuk perenang.
Penggubalan larangan Rachline ditolak oleh mahkamah Perancis, yang menyatakan ia melanggar beberapa hak peribadi dan kebebasan yang dilindungi di negara itu, termasuk kebebasan hati nurani.
Berikutan keputusan itu, pihak perbandaran Frejus diarahkan membayar 3,000 euro (RM15,069) kepada Liga Hak Asasi Manusia.
Susulan itu, ketua Liga Hak Asasi Manusia cawangan tempatan, Isabelle Le Buzulier, mengalu-alukan keputusan itu dengan mengatakan beliau sangat ‘berbesar hati melihat kebebasan hak dengan itu terpelihara’.
Burkini direka untuk membolehkan wanita berenang sambil mematuhi kehendak Islam tentang kesopanan aurat wanita.
Keputusan itu disambut oleh beberapa tokoh awam lain, dengan ahli politik sayap kiri, Catherine Aubry mengucapkan tahniah kepada Liga Hak Asasi Manusia di platform media sosial X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
Aubry berkata bahawa beliau ‘gembira dengan keputusan itu’, sambil mengatakan larangan itu ‘bertujuan untuk mencemarkan agama’ dan bukannya demi kepentingan kebersihan atau keselamatan perenang.
Rachline bagaimanapun, mempertahankan larangan itu, dengan menegaskan bahawa keputusan mahkamah adalah ‘bercanggah dengan keselamatan warga negara (di Frejus) dan bertentangan dengan peraturan asas kebersihan’ dalam pada ramai yang mengecam larangan itu sebagai satu bentuk Islamofobia.
Perancis sudah lama berdebat sama ada orang ramai dibenarkan memakai burkini di tempat renang awam berikutan larangan burqa dan niqab pada 2011.
Baru-baru ini, terdapat perdebatan mengenai larangan hijab dipakai dalam pertandingan sukan seperti pada Sukan Olimpik Paris 2024 akan datang. – HARAKAHDAILY 9/8/2023