
PADANG TERAP: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang, Munir @ Mohd Yusuff Zakaria atau lebih mesra dengan panggilan Haji Munir, bakal mempertahankan kerusi DUN tersebut menentang calon PH (Amanah), Ridzwan Abu Bakar.
Walau bagaimanapun katanya, beliau tidak meletakkan keyakinan semata-mata sebaliknya meningkatkan usaha menawan hati rakyat sepanjang tempoh berkempen berjalan.
“Insya-Allah kita melihat secara zahir yang menetukan ialah Allah, kita yakin dapat mempertahankan kerusi di DUN ini khasnya tetapi Tuan Guru Presiden selalu berpesan jangan terlalu yakin.
“Kita usahakan yang terbaik, jentera kita pun selalu diingatkan supaya terus berusaha di samping bermunajat memohon kepada Allah agar diberi kemenangan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sebelum ini, beliau bertanding tiga penjuru menentang Badrol Hisham Hashim daripada Barisan Nasional (BN) dengan mendapat undian 9,118.
Lawan beliau memperoleh 7,499 undi sementara beliau memenangi DUN tersebut dengan majoriti undi sebanyak 1,619.
Turut bertanding Syed Fadzil Syed Embong daripada Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 3,376 undian.
Haji Munir juga pernah bertanding pada PRU-11 dengan mendapat undian sebanyak 6,436 undi.
Namun begitu, percubaan pertama beliau pada PRU-11 kecundang di tangan Affifuddin Omar daripada BN dengan mendapat undian sebanyak 7,746.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah kali ini, beliau kembali mempertahankan kerusinya di DUN tersebut menerusi pertandingan dua penjuru. – HARAKAHDAILY 8/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!