Potensi Rantau Panjang jadi kawasan bebas cukai antarabangsa

Kamaruzaman (enam dari kiri) dan Mohamad (empat dari kiri) dalam program ramah mesra dengan penduduk di Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan pada hari ini, 7 Ogos 2023.
- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Pekan Rantau Panjang dirancang akan dibangunkan sebagai kawasan bebas cukai bertaraf antarabangsa yang menjadi tumpuan pelancong asing dan tempatan.

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad berkata, startegi perlu dilakar bagi merealisasikan perkara itu untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan bebas cukai. 

- Advertisement -

“Kita berhasrat bukan sahaja mampu memberi peluang orang ramai datang untuk membeli belah, sebaliknya terdapat tempat penginapan yang selesa.

“Lagi pun, Rantau Panjang terkenal sebagai kawasan bebas cukai utama di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas program ramah mesra bersama penduduk di Gual Periok, di sini, hari ini yang turut dihadiri mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Peroik, Dato’ Mohamad Awang.

Selain itu menurutnya, aktiviti pertanian yang menjadi sumber pendapatan sebahagian besar penduduk akan dipertingkatkan terutamanya memperkenal teknologi moden. 

Tambah beliau, sebelum ini petani berdepan dengan masalah banjir yang sering berlaku pada musim tengkujuh.

“Adalah diharapkan apabila siap sepenuhnya projek tebatan Sungai Golok dapat mengatasi masalah banjir yang sering berulang setiap tahun,” ujarnya. 

Kamaruzaman yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, DUN Gual Periok sesuai disuburi dengan pembangunan pendidikan bagi melahirkan keluarga bahagia.

Menurutnya lagi, pendidikan berteras agama perlu dipertingkatkan lagi memandangkan Rantau Panjang terletak di kawasan sempadan yang sering berdepan masalah sosial.

“Melalui pendidikan berterusan dalam bidang agama diharap dapat membentuk jati diri anak-anak muda dan mengelakkan mereka terpengaruh dengan budaya tidak sihat,” ujarnya. 

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, Kamaruzaman berdepan dengan calon BN, Anuar Mohamed. – HARAKAHDAILY 7/8/2023