PN dapat sokongan luar biasa di kawasan Felda 

Tuan Guru Abdul Hadi dalam program Munajat Akbar dan Jelajah PN Best Bersama Presiden PAS di pekarangan Bilik Operasi PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Sendayan Merchant Square, Rembau, Negeri Sembilan pada 6 Ogos 2023.
- Advertisement -

REMBAU: Sokongan orang Melayu terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) di kawasan Felda meningkat agak luar biasa walaupun kawasan itu sebelum ini merupakan kubu kuat Umno dan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PN Negeri Sembilan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pada peringkat awal, beliau menjangka tidak ramai peneroka yang hadir pada ceramah disampaikan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

- Advertisement -

“Sebaliknya saya terpaksa parking kereta agak jauh kerana kehadiran peneroka dan penduduk tempatan sangat luar biasa. 

“Ramai yang hadir pada ceramah tersebut,” katanya pada sidang media sebaik sahaja selesai program Munajat Akbar dan Jelajah PN Best Bersama Presiden PAS di pekarangan Bilik Operasi PN DUN Rantau, Sendayan Merchant Square, dekat sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Pesuruhjaya PAS Melaka Tuan Guru Zulkifli Ismail; dan Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.

Ahmad Faizal berkata, masyarakat Felda memahami jasa dan pengorbanan Muhyiddin yang membantu menyelesaikkan banyak isu melibatkan peneroka.

Pada 16 Julai 2021 Muhyiddin mengumumkan kerajaan PN melalui Felda bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Pelupusan itu dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal Felda.

Ia memberi kelegaan kepada peneroka kerana hutang berkurangan purata 80 peratus bagi setiap peneroka.

Warga Felda yang membanjiri program Munajat Akbar dan Jelajah PN Best Bersama Presiden PAS.

Ahmad Faizal juga berkata, pengundi-pengundi Cina dan India sebelum ini merupakan penyokong tegar PH, sekarang mula menunjukkan perubahan dengan memberi sokongan kepada PN.

“Bukan sahaja pengundi Cina tetapi juga pengundi India. Saya mendapati perubahan amat ketara dalam kalangan pengundi kaum terbabit.

“Inilah yang menyebabkan kami dan jentera parti begitu bersemangat. Insya-Allah, kita akan berjaya bersama-sama membentuk kerajaan,” ujarnya. 

Beliau juga berkata, keadaan serupa juga berlaku dalam kalangan ahli-ahli Umno yang semakin berani menyatakan sokongan terbuka kepada PN.

“Walau pun mereka masih kekal bersama Umno, namun memberi jaminan akan membuat perubahan secara senyap di kertas undi,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2023

- Advertisement -