Pencalonan Hun Manet sebagai PM diluluskan

- Advertisement -

PHNOM PENH: Raja Kemboja meluluskan pencalonan anak sulung Perdana Menteri, Hun Sen untuk menjadi perdana menteri baharu negara itu.

Dekri yang mengesahkan jeneral tentera berpendidikan Barat, Hun Manet, 45, semalam, dikongsi di saluran Telegram bapanya dan menandakan penghujung hampir empat dekad bekas gerila Khmer Rouge itu menerajui negara yang pulih daripada peperangan dan kemiskinan selama berdekad-dekad.

- Advertisement -

Pelantikan itu memerlukan kelulusan Dewan Negara yang baru dipilih, dijangka akhir bulan ini, berikutan kemenangan besar Parti Rakyat Kemboja (CPP) yang memerintah dalam pilihan raya bulan lalu. CPP memenangi 120 daripada 125 kerusi parlimen.

Bulan lalu, Hun Sen berkata akan berundur dan menyerahkan kuasa kepada anaknya pada bulan ini, menamatkan pemerintahan 38 tahun apabila beliau berjaya mewujudkan kestabilan selepas bertahun-tahun berperang tetapi membantutkan demokrasi.

Bagaimanapun, beliau akan mengekalkan jawatan penting dalam badan perundangan dan parti pemerintah.

Hun Manet, 45, mendapat pendidikan di Amerika Syarikat dan Britain dengan ijazah kedoktoran dalam bidang ekonomi.

Beliau juga lulusan akademi tentera West Point yang berprestij di Amerika Syarikat dan pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua komander angkatan tentera Kemboja.

Hun Manet tidak banyak menyatakan wawasannya untuk negara. Beliau memenangi kerusi di ibu negara, Phnom Penh, dalam pilihan raya. – REUTERS

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -