Calon PRN: Langkah berani PAS Kelantan

Pertaruh 51 peratus muka baharu

- Advertisement -

30 TAHUN mentadbir adalah tempoh yang matang. Saya percaya PAS Kelantan mahu dan sedang melangkah lebih jauh ke hadapan dengan strategi baharu dan tenaga perjuangan yang lebih segar.

Sekali gus memperlihatkan betapa PAS menyedari hakikat bahawa dinamika politik tanah air semakin mencabar dan memerlukan ijtihad yang luar biasa agar agenda PAS dalam mengangkat syariat melalui wadah Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan ini dapat terus kekal relevan menuju Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 iaitu genap 100 tahun penubuhan PAS.

Kelantan sebagai negeri kubu kuat PAS pastinya akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar dan tekanan luar jangka lebih-lebih lagi apabila dasar ‘madani’ di peringkat Persekutuan sangat terlalu dipengaruhi oleh agenda-agenda permusuhan politik kepartian sehingga menjejaskan semangat federalisme yang ada.

Oleh itu, langkah berani yang diambil oleh PAS Kelantan memperkenalkan 51 peratus (23/45 calon) calon muka baharu termasuk calon muda daripada golongan profesional dan ahli-ahli korporat akan menjadi game changer kepada PAS Kelantan. 

Mungkin ramai yang kurang perasan akan perubahan besar yang dilakukan oleh PAS Kelantan ini. Sangat menarik sebenarnya untuk dilihat dengan lebih dalam dan teliti agenda rejuvenasi yang sedang berlaku ini.

Walaupun usaha PAS Kelantan ini sedikit memberi kejutan kepada pelbagai pihak terutamanya jentera di cawangan, namun dengan pendekatan ‘fiqh taghyir’ (fiqh perubahan) yang diaplikasi oleh pucuk kepimpinan PAS Kelantan pasti akan membuahkan hasil yang menguntungkan nafas panjang politik PAS.

Lebih menarik dalam proses perubahan ini, walau ada sedikit bunyi pada awalnya, namun ianya dapat segera diatasi dengan jiwa besar kepimpinan dan kepatuhan ahli-ahli di negeri kubu PAS ini. 

Saya berpandangan 51 peratus calon muka baharu yang dihantar oleh PAS sebagai calon dalam PRU Dewan Undangan Negeri Kelantan ini hanyalah fasa permulaan kepada ‘grand design’ dalam usaha-usaha rejuvenasi PAS Kelantan. Insya-Allah.

Akhirnya, jangan lupa balik mengundi blako adik kakok! Sekian. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 4/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -