Pasar Payang: Ahmad Shah pastikan situasi menang-menang

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Isu penempatan para peniaga di Pasar Payang menjadi antara tumpuan calon PAS mewakili PERIKATAN NASIONAL yang bertanding di Dun Bandar pada Pilihan Raya Negeri kali ini, Ahmad Shah Muhamed untuk diselesaikan.

- Advertisement -

Desas-desus mengatakan Pasar Payang akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Pasar Payang 1 untuk kraf tangan serta pakaian dan Pasar Payang 2 menempatkan perniagaan makanan telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan peniaga yang mahukan Pasar Payang menjadi one stop center.

Ahmad Shah ketika ditemui pemberita memberitahu telah berhubung dengan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengenai isu tersebut.

“Pihak MBKT sendiri telah memberitahu saya, perkara tersebut belum lagi muktamad. Mereka akan kaji lagi apa kesannya sekiranya peniaga dipindahkan atau tidak dipindahkan.

“Mereka akan ambil kira semua aspek yang dikira tidak akan menyusahkan para pengunjung dan juga memberi keselesaan kepada para peniaga,” katanya.

Tambah beliau lagi, perkara tersebut akan diberi perhatian agar ia memberikan penyelesaian ‘situasi menang-menang’ antara para peniaga dan pengunjung.

Pada PRN kali ini, beliau ditentang oleh calon BN, Armi Irzan Mohd dan MUDA, Luqman Long.

Beliau yang memperolehi 7,133 undi memenangi kerusi Dun Bandar pada PRU14 lalu dengan majoriti 2,091 undi menewaskan calon BN dan PKR, Toh Seng Cheng dan Azan Ismail. – HARAKAHDAILY 3/8/2023