Calon PN berusaha pertahan legasi Tok Kenali

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pondok Tok Kenali yang masih kekal sehingga sekarang mempunyai peranan yang begitu besar terhadap perkembangan pendidikan Islam di Kelantan dan negara ini.

Tok Kenali merupakan antara ulama yang mempelopori sistem pengajian pondok. Beliau juga aktif menulis dalam majalah Pengasuh iaitu lidah rasmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

- Advertisement -

Setelah kepulangannya dari Makkah, Tok Kenali membuka pusat pengajian pondok di Kampung Belukar iaitu lokasi Masjid Kenali sekarang di Mukim Kenali.

Ketika zaman kegemilangannya, institusi tersebut menerima pelajar dari seluruh Tanah Melayu sehingga alam Nusantara seperti Indonesia, Thailand, Kemboja dan Timur Tengah.

Pondok tersebut sekarang diuruskan oleh Ustaz Hafiz Hukmi Mawardi, merupakan generasi pelapis keluarga Tok Kenali.

Mengambil kira kepentingan institusi tersebut calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri Demit, Ustaz Mohd Asri Mat Daud menyantuni waris keturunan ulamak tersebut.

“Sebab itulah atas prinsip aspirasi ilmu kita mulakan gerak kerja kempen di Pondok Tok Kenali. 

“Pondok Tok Kenali merupakan pusaka yang paling besar bagi kita, malah di Kubang Kerian penduduknya masih menghormati institusi pondok walaupun dari pelbagai latar belakang,” katanya.

Mohd Asri yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan berkata, suatu ketika dahulu Kelantan mempunyai banyak pusat pengajian pondok.

“Sebahagian besar pengasas institusi pengajian pondok terbabit merupakan anak-anak murid Tok Kenali sehingga Kelantan dikenali negeri Serambi Mekah.

“Saya akan berusaha menambah baik institusi pondok bagi memastikan legasi Tok Kenali dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2023

- Advertisement -