KOTA BHARU: Usaha pihak tertentu cuba melaga-lagakan pemimpin PAS Kelantan dianggap menembak dengan peluru kapur.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihak terbabit cuba memperlihatkan pertembungan antara Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan timbalannya, Dato’ Mohd Amar Abdullah.
Katanya, agenda itu adalah strategi pihak lawan mendedahkan propaganda tersebut dalam siri kempen mereka.
“Pihak lawan tiada peluru untuk dihala ke arah PAS sehingga terpaksa menyebar propaganda bagi memecahkan PAS dari dalam.
“Rakyat Kelantan bijak menilai tohmahan seperti itu kerana mempunyai pendidikan dan tahap pemikiran tinggi,” katanya pada sidang media di Pusat Media PAS di Pejabat perhubungan PAS Kelantan di sini, hari ini.
Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, dilapor mendakwa Ustaz Ahmad dijangka tidak akan dinamakan sebagai Menteri Besar jika PAS terus mendapat mandat rakyat 12 Ogos ini.
Menurutnya, perkara tersebut tidak mustahil berlaku selepas PAS dianggap berdepan krisis dalaman.
Wan Roslan berkata, isu propaganda tersebut cuba disebarkan selepas Umno dan sekutu kurang mendapat sokongan rakyat.
Ketika ditanya keyakinan Umno untuk menang di 16 kerusi DUN di Kelantan, katanya, BN dan Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak serius berdepan dengan PAS dan PN kerana tiada pemimpin utama mereka bertanding pada PRN kali ini.
“Kita lihat Umno tidak serius untuk merampas Kelantan kerana mereka meletakkan calon tidak dikenali dan bukan pemimpin utama parti itu.
“PN pula menamakan calon dalam kalangan pemimpin utama di samping menampilkan 23 calon baharu daripada 45 calon atau 51.1 peratus,” katanya.
Pada PRN kali ini Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, tiada dalam senarai calon BN. Begitu juga Pengerusi Amanah, Mohamad Husin, tidak bertanding. – HARAKAHDAILY 2/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!