Elakkan PH-BN bawa negara ke arah autokrasi

Salamiah Mohd Nor membantu kempen calon PERIKATAN NASIONAL, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan di Dun Pelabuhan Kelang.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dibebaskan daripada sebarang pengaruh eksekutif bagi memastikan keadilan benar-benar dapat ditegak.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang, Salamiah Mohd Nor berkata, SPRM sekarang seperti terhalang untuk mengambil tindakan apabila ada isu membabitkan pemimpin kerajaan.

- Advertisement -

“SPRM sepatutnya terlebih dahulu mengambil tindakan terhadap kes 47 jenayah rasuah seorang pemimpin, projek kapal tempur pesisir (LCS), terowong bawah tanah dan banyak lagi kes berprofil tinggi.

“Begitu juga ucapan seorang menteri mengumpankan bantuan kewangan kepada NGO belia di Terengganu ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Mahkamah Pilihan Raya di Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim dengan alasan berlaku sogokan bantuan kerajaan negeri kepada penduduk.

Bagaimanapun kenyataan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bersetuju memperuntukkan geran RM100,000 kepada NGO belia Felda dianggap bukan rasuah.

Malah, Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, jumlah peruntukan mungkin ditambah bergantung prestasi NGO terbabit pada PRN 12 Ogos ini.

Salamiah yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, rakyat perlu bangkit pada 12 Ogos ini bagi mengelakkan kerajaan PH-BN membawa negara ke arah amalan pemerintahan autokrasi.

“Kerajaan PH-BN menuju ke arah pemerintahan autokrasi, ‘aku boleh, orang lain tak boleh’. Memberi peruntukan kewangan dalam tempoh berkempen adalah rasuah.

“Seperti biasa, pemimpin utama kerajaan campuran berputar-putar memberikan alasan, itu bukan rasuah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/8/2023