Rakyat marah diterjemah dengan majoriti lebih tinggi

Ahmad Amzad melawat sebuah markas PAS dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mampu mendapat majoriti yang lebih tinggi berbanding PRU15 lalu.

- Advertisement -

Menurutnya, berasaskan gelombang yang ada PAS dan PN mempunyai sasaran yang tinggi untuk mencatatkan kemenangan berbanding majoriti yang diperolehi dahulu.

“Ini semua kuasa Allah SWT kita boleh merancang, berusaha sebaik yang mungkin,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily.

Tambahaan pula, ujarnya lebih-lebih lagi dalam keadaan bilangan pemilih daftar yang baharu adalah lebih tinggi iaitu 123,000 orang.

“Dalam anggaran kita, kalau 123,000 orang keluar mengundi 80 peratus, ada dalam hampir 100,000 yang keluar mengundi dan kalau berasaskan kepada pencapaian yang lalu, Dato’ Raja Bahrin yang mewakili Pakatan Harapan ketika itu mencatat undi 10,000 saya dapat dalam 63,000 undi, BN mendapat dalam 20,000 undi.

“Melihat kepada strategi yang digunakan oleh Umno PH ini, saya tidak tahu sama ada mereka betul-betul bekerjasama ataupun tidak tapi kelihatannya berlaku boikot oleh jentera BN terhadap PH dalam masa yang sama kita mendapat maklumat berlaku perselisihan antara Amanah dan juga PKR.

“Jadi gabung jalin semua ini sebenarnya dicampur dengan rakyat di Kuala Terengganu sendiri marah dengan keputusan baru-baru ini, mereka marah dengan keputusan yang menyebabkan berlaku pertandingan semula ini dan saya rasa ia akan diterjemahkan dalam bentuk majoriti yang lebih tinggi,” jelasnya.

Mengenai cabaran pada PRK ini, bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, ia perlu dilihat secara realistik.

“Pertamanya, kita perlu realistik dari segi baru lagi, tidak sampai lapan bulan kita berdepan dengan pilihan raya lalu, jadi saya tengok kadang poster saya yang lama pun masih ada lagi.

“Jadi dari segi memperkenalkan diri tidaklah susah sangat,” ujarnya.

Di samping itu, beliau mempunyai lebih banyak masa bersama dengan rakyat selepas PRU15 lalu kerana tidak berada dalam kerajaan.

Menurutnya, situasi itu sudah tentulah memberikan kelebihan kepadanya, tambahan pula berhadapan dengan mantan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail sebagai calon PH.

“Dalam keadaan sekarang ini untuk Kuala Terengganu, yang dicalonkan oleh pihak lawan adalah mantan Ahli Parlimen Indera Mahkota yang kemudian dia berpindah pula ke (Dun) Bandar, kemudian ditolak di peringkat itu oleh rakyat di Bandar, jadi saya rasa mungkin ada hikmah di situ,” katanya yang juga Ketua Perhubungan PN Kuala Terengganu.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 lalu dengan majoriti 40,907 undi selepas memperoleh 63,016 undi manakala calon BN, Datuk Mohd Zuber Embong (22,109 undi), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PH – 10,946) dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar (Pejuang – 481). – HARAKAHDAILY 1/8/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!