ALOR SETAR: Orang yang sama muncul pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kini kembali ke gelanggang pilihan raya, namun di padang berbeza, iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN).
Muhammad Radhi Mat Din yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) pernah bertembung dengan Dato’ Mahfuz Omar dari Pakatan Harapan (PH), kini bertemu sekali lagi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu.
Pertemuan pada PRN kali ini hanya dua penjuru tanpa diganggu calon bebas.
Radhi berkata, pertembungan dengan calon sama merupakan perkara biasa, cuma yang membezakan ialah pengundi.
“Bertanding dengan orang yang sama, saya anggap bukan satu cabaran. Biasa saja. Padang sama, cuma beza penonton (pengundi). Dahulu di Parlimen Pokok Sena, sekarang DUN Alor Mengkudu,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, gelombang pada 2018 berpihak kepada PH, namun kali ini sokongan kepada PN kelihatan lebih ketara.

“Insya-Allah, dengan gelombang sokongan beralih kepada PN, ditambah dengan kekuatan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, akan membantu kemenangan PN,” ujarnya.
Beliau berkata, masalah penduduk, terutama yang berkaitan perparitan, tali air, banjir dan pertanian adalah antara perkara yang menjadi fokusnya jika diberi mandat rakyat di DUN Alor Mengkudu.
Menurutnya, ini berikutan antara 60 hingga 70 peratus penduduk di DUN berkenaan merupakan penanam padi.
Ditanya penerimaan masyarakat di DUN berkenaan, katanya setakat ini baik, selain mendapat sokongan dan kerjasama jentera PAS setempat. – HARAKAHDAILY 1/8/2023