Terjun ke dunia politik demi tegakkan Islam

Prof Haim prihatin dengan kehidupan masyarakat di Jitra dalam suasana penuh harmoni dan mesra.
- Advertisement -

KUBANG PASU: Selepas menabur bakti sebagai ahli akademik selama 23 tahun Prof Dr Haim Hilman Abdullah atau lebih dikenali sebagai Prof Haim memilih untuk terjun ke dunia politik demi melihat Islam ditegakkan di tanah airnya, terutama di bumi Jitra.

Beliau prihatin dan teruja melihat masyarakat di Jitra yang hidup harmoni dan mesra dalam suasana di situ dipenuhi dengan pondok-pondok pengajian Islam yang sudah tentu dilimpahi rahmat dari Allah SWT.

- Advertisement -

“Saya lihat satu suasana di Jitra ini khususnya dalam konteks masyarakat di kampung-kampung ada elemen  kemesraan, dan saya yakin ini adalah berkat adanya pondok-pondok dan Kubang Pasu ini adalah bandar ilmu.

“Jadi, rahmat dan kasih sayang Allah pastinya turun ke sini sebab ramai pendidik-pendidik di sini, ramai orang mengajak kepada kebaikan dan belajar perkara-perkara baik.

“Saya bersyukur diberi ruang dan peluang untuk bertanding atas tiket PERIKATAN NASIONAL (PN) mudah-mudahan diberi kejayaan bukan kerana peribadi tetapi kejayaan kepada perjuangan Islam demi menegakkan Islam yang benar-benar menunjangi negeri kita dan insya-Allah negara kita satu hari nanti,” katanya.

Menurut beliau, sudah tentu dunia pendidikan begitu dekat dihatinya namun takdir Allah menentukan beliau untuk terus berjuang menerusi wasilah politik.

“Sebenarnya jauh di dalam hati, saya memang ingin terus berbakti kepada masyarakat dan saya telah menghambakan diri saya selama 23 tahun sebagai ahli akademik.

“Saya sentiasa berdoa agar Allah SWT berikan kekuatan untuk terus mendidik anak bangsa kita seperti kata kiasan izinkan saya memandaikan kamu, pastinya semua itu dari Allah tetapi ia menjadi asbab kepada ribuan anak bangsa menjadi anak yang baik.

“Suatu hari nanti saya pasti akan lelah dan tidak berdaya dan pada masa itu anak didik kitalah termasuk para guru di luar sana, anak didik kitalah yang akan meneruskan perjuangan kita jadi kerana itulah membuatkan saya boleh bertahan selama 23 tahun sebelum ini,” katanya.

Namun, di puncak kejayaan sebagai Naib Canselor di Universiti Utara Malaysia (UUM)  sejak Januari 2022, perkhidmatan beliau telah dipendekkan (sehingga Januari 2023) dan beliau memilih untuk bersara pilihan dalam usia 50 tahun.

“Setelah saya ditamatkan sebagai Naib Canselor UUM, pasti ada hikmah yang tersendiri dan saya mengambil keputusan untuk bersara pilihan di usia 50 tahun.

“Saya menceburi bidang politik ini bukanlah dirancang tetapi lebih kepada Allah yang merancang sedemikian rupa, jadi akhirnya saya diminta bertanding menerusi PAS di bawah gabungan PN,” katanya.

Beliau percaya kepimpinan PAS melihat beliau dari sudut pengalaman sebagai pensyarah dan lebih 13 tahun memegang pelbagai jawatan peringkat tertinggi universiti sehingga ke peringkat Naib Canselor.

“Jadi,kepimpinan melihat saya mungkin boleh membantu kerajaan sekiranya PN membentuk kerajaan dalam aspek berkaitan pendidikan dan ekonomi yang dekat di hati saya.

“Saya menawarkan diri saya kepada seluruh penduduk Jitra untuk memberi saya peluang bagi berkhidmat kepada seluruh warga Jitra dan insya-Allah kita akan bangunkan Jitra sejahtera, maju dan dirahmati Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2023