KUBANG PASU: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Prof Dr Haim Hilman Abdullah atau lebih dikenali sebagai Prof Haim memulakan hari ketiga tempoh berkempen hari ini dengan solat subuh di Masjid Tuan Guru Haji Salleh, Lubuk Kawah, di sini.
Kemudian beliau menyantuni penduduk sekitar di Warung Teratak Bonda yang terletak berhampiran masjid selepas selesai solat.
“Alhamdulillah, pagi tadi kita selesai solat di Masjid Lubuk Kawah dan bertemu dengan kepimpinan masjid, imam dan orang kampung.
“Satu suasana yang menarik kerana ini adalah dekat dengan hati saya, kerana dengan bertemu msyarakat seawal subuh satu suasana yang berbeza,” katanya.
Menurutnya, masyarakat di situ begitu dekat dihati beliau khususnya penduduk sekitar yang dikelilingi pondok dan tempat pengajian yang meriah.
“Harga makanan di Teratak Bonda murah, saya nampak suasana di sini yang penuh keberkatan, perniagaan maju dan harga berpatutan.
“Ia mendatangkan rasa selesa pelanggan, ini satu perkara yang saya akan angkat dalam konteks perniagaan kita perlu mencari keredhaan dan keberkatan Allah SWT dalam perniagaan.
“Insya-Allah, kita akan cuba terapkan supaya peniaga yang berniaga ini mereka akan memahami konsep dalam berniaga ada ibadah dan sedekah,” katanya.
Kemudian, beliau menziarahi golongan As-Sabiqun yang terdahulu berjuang dalam PAS serta dua orang ulama di situ.
“Mereka seperti ibu dan ayah saya, yang sudah pun uzur tetapi masih bersemangat berjuang. Kemudian saya menziarahi Pondok Ustaz Hafiz Mustfaa Lubis di Madrasah Mustafawiyah dan Tuan Guru Sobri Osman di Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah atau lebih masyhur dengan panggilan Pondok Tanjung Kapur,” katanya.
Antara lain tujuan ziarah adalah bagi meminta restu dan doa agar dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat.
Kemudian beliau menyantuni enam buah rumah penduduk di sekitar Kampung Tanjung Kapur dan Lubok Kawah, di sini.
Seterusnya beliau singgah sebentar makan tengah hari di Tuah Nasi Kandar Lubok Kawah serta menyantuni penduduk yang berkunjung di situ. – HARAKAHDAILY 31/7/2023