REMBAU: Kerajaan yang zalim tidak akan beroleh kejayaan dalam pemerintahannya, sebaliknya pentadbiran yang adil dan mengikut lunas Al-Quran pula akan menghasilkan kejayaan kepada sesebuah negara.
Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata demikian sambil menambah bahawa kewujudan kerajaan yang zalim inilah menjadi sebab mengapa PERIKATAN NASIONAL perlu berjuang membela rakyat.
“Ini masalahnya yang menyebabkan kita perlu berjuang kerana negara kita pada hari ini tidak ditadbir dengan adil. Maka dengan sebab itu negara kita ini sedang melalui suatu lorong yang gelap menuju kehancuran.
“Kerana ia menyimpang daripada norma-norma kerajaan dan kepimpinan yang berjaya. Tak ada yang berjaya sekiranya kalau dia melakukan kezaliman, menilai secara yang tidak adil,” tegasnya.
Menurut beliau, berpegang dengan keadilan menjadi prinsip penting di dalam pentadbiran dan dalam berkerajaan sepertimana yang dipegang oleh PERIKATAN NASIONAL.
“Alhamdulillah, PERIKATAN NASIONAL menjunjung prinsip-prinsip ini. Kerana itu PERIKATAN NASIONAL menggamit semua tokoh-tokoh yang hebat dari seluruh negara kita kerana mereka melihat di dalam PERIKATAN NASIONAL ini ia adalah gabungan yang sihat dan sejahtera;
“Gabungan yang normal – gabungan yang lurus dan betul; gabungan yang apabila diberi kepercayaan oleh rakyat akan memandu negara kita ke arah kegemilangan.
“Sebab itu kita jangan pelik bermacam-macam orang memberi sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL,” katanya di dalam majlis pengenalan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Rantau, Rozmal Malakan di Padang Taman Sendayan Indah, Rantau, di sini pada Ahad.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin; Ketua Bahagian Bersatu Rembau yang juga Setiausaha PN Negeri Sembilan, Nazree Yunus; dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan, Janira Ain Abu Bakar.
Beliau dalam ucapannya menyeru agar semua pengundi terutama pengundi di DUN Rantau agar keluar mengundi calon PERIKATAN NASIONAL pada hari mengundi nanti.
“Saya harap sangat pada 12 Ogos ini kita turun dan pastikan seluruh rakyat di DUN Rantau ini memberikan undinya kepada calon kita supaya beliau dapat mewakili PERIKATAN NASIONAL dalam kerajaan negeri selepas daripada tarikh tersebut,” ujarnya.
Rozmal, 58, merupakan anak jati Rembau yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan korporat.
Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Pengurus Kualiti di sebuah syarikat dari Negara Jerman yang beroperasi di Senawang semenjak tahun 1996 hingga beliau bersara pada tahun 2022.
Beliau juga aktif melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan setelah diamanahkan sebagai Pengerusi Pertubuhan Waris Negeri Sembilan, selain mantan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan. – HARAKAHDAILY 31/7/2023