PN bukan sebuah parti rasis – Rupaa Sri

- Advertisement -

SHAH ALAM: Masyarakat India diajak keluar beramai-ramai pada 12 Ogos ini dengan mengundi calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi menjamin kesejahteraan hidup mereka.

Naib Pengerusi 1 Sayap Bersekutu Bersatu Shah Alam, Rupaa Sri Yogisvaran berkata, PN bukan sebuah parti rasis yang sering digambarkan pihak tertentu sebelum ini.

- Advertisement -

Katanya, PN tidak bersifat rasis kerana setiap agihan kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sekarang dibuat berdasar jumlah majoriti penduduk tempatan.

“Kerusi DUN Batu Tiga diberi kepada calon orang Melayu kerana bilangan penduduk di sini, majoriti orang Melayu,” katanya ketika mengiringi calon PN di DUN berkenaan, semalam.

DUN Batu Tiga ditandingi oleh Dato’ Seri Rina Harun yang mewakili PN. Beliau ditentang Danial Al-Rashid dari Pakatan Harapan (PH) dan Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen (Muda).

Bagi DUN Kota Anggerik pula diwakili Sukri Omar (PN), Najwan Halimi (PH) dan Azad Akhbar Khan (Muda).

Penamaan calon di DUN Kota Anggerik dan DUN Batu Tiga semalam berjalan lancar dengan kehadiran ramai penyokong pelbagai kaum.

Rupaa juga berkata, pemimpin PH-BN sebelum ini menjanjikan pelbagai perkara bagi membantu kaum India, namun tidak menjadi kenyataan.

Malah, katanya bekas wakil rakyat PH-BN sebelum menyebut kaum India di Batu Tiga sebagai India estet.

“Kami bukan India estet, sebaliknya rakyat Malaysia,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Dan Wanita Inovasi Malaysia.

Menurutnya, jentera PN bekerja keras bagi memastikan Shah Alam beralih ke tangan PN bermula dengan menawan DUN Batu Tiga dan Kota Anggerik. – HARAKAHDAILY 30/7/2023