Bersatu hati pertahan kerajaan Terengganu

Aminuddin Aling
- Advertisement -

BESUT: Semua umat Islam mesti bersatu hati atas dasar satu akidah, menyokong dan memenangkan calon PAS dan PERIKATAN NASIONAL.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling berkata, kerahan tenaga di semua peringkat untuk bangkit dan pertahankan kerajaan Terengganu menerusi peti undi pada 12 Ogos nanti dengan mengundi calon-calon yang telah diputuskan oleh pimpinan pusat.

“Para petugas perlu menggembleng tenaga untuk menyebarkan maklumat berkenaan pilihan raya ke seluruh kawasan dan sampai ke pengetahuan pengundi di kawasan masing-masing,” katanya semasa ceramah memperkenalkan calon di Dewan Terbuka Limbongan Kota Putera, semalam.

Katanya, PAS Sabah telah menghantar jentera untuk membantu calon Dun Jerteh, Dr Riduan Mohd Nor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Sementara itu, dalam ucapan sesi pengenalan calon, Dr Riduan berkata PAS ditubuhkan selaras dengan matlamat penubuhannya untuk menegakkan syariat dalam pemerintahan Islam.

“Antara ciri pemerintahan Islam ialah menyeru kepada yang makruf dan mencegah perkara mungkar.

“PAS hari ini telah membuktikan mampu menegakkan syariat dalam pemerintahan dengan menghapuskan judi dan mengekang konsert serta hiburan yang melalaikan,” katanya.

Beliau menegaskan, PAS telah mengetengahkan calon teknokrat daripada bidang korporat yang mampu memacu ekonomi dan menjana pembangunan untuk Terengganu.

Dr Riduan turut mengingatkan supaya rakyat tidak mengulangi kesilapan memilih pemerintahan yang gagal semasa zaman BN, tapi dipulihkan sewaktu pemerintahan Menteri Besar sekarang, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau turut mengajak semua petugas, bekerja untuk memenangkan PAS dengan menggunakan segala medium yang ada termasuk media sosial dalam masa berbaki 13 hari sahaja lagi untuk berkempen. – HARAKAHDAILY 30/7/2023