KUBANG PASU: Sokongan anak-anak muda mampu memberi kelebihan kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di DUN Jitra pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Calon PN, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, PAS dan PN telah lama menyusun gerak kerja termasuk menjalinkan hubungan dengan anak-anak muda.
Berdasar situasi sekarang, bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, kelihatan sokongan golongan muda kepada PN begitu menggalakkan.
“Kita akan teruskan usaha itu bagi memastikan bahawa kesinambungan gerak kerja itu berterusan pada PRN. Bagaimanapun, kita tidak mahu menyatakan keyakinan keterlaluan kerana sudah pasti pihak lawan juga berusaha sehabis baik.
“Apa yang boleh saya janjikan, saya dan rakan-rakan akan bersama memastikan PRN berjalan dengan bersih demi semangat demokrasi,” katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon, hari ini.
Dr Haim Hilman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom.

Beliau yang turut memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Strategik pada 2010 dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berdepan Sabrina Ahmad, 45 yang mewakili Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Menurutnya, gerak kerja PN juga sentiasa mendapat perhatian pengundi dan penduduk tempatan.
Sementara itu, beliau menasihati pengundi dan penyokong supaya menjaga tatasusila dan adab sepanjang tempoh berkempen.
“Saya menasihati semua penyokong dan pengundi menjaga tatasusila, adab dan sopan santun kita dalam kancah menghidupkan demokrasi di Kedah dan seterusnya peringkat negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!