PORT DICKSON: Penamaan calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pagi ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PERIKATAN NASIONAL (PN) dengan Barisan Nasional (BN).
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan calon PN, Ustaz Fattah Zakaria, 57, sebagai calon nombor satu dan diikuti calon BN, Najib Tan Sri Isa sebagai calon nombor 2.
Seramai 27,000 pengundi bakal membuang undi pada 12 Ogos ini bagi memilih wakil rakyat yang baharu.
Proses penamaan calon pada hari ini berjalan lancar dengan kawalan ketat pihak berkuasa polis sepanjang proses penamaan calon.
Calon PN, Ustaz Fattah Zakaria, seorang pesara tentera di mana jawatan terakhir adalah Pegawai KAGAT yang bermastautin di sini sejak 26 tahun lalu.
Ustaz Fattah amat dikenali dengan watak tawaduk namun cukup aktif berpersatuan dan khidmat masyarakat.
Sementara itu, penyandang kerusi DUN Bagan Pinang dari BN, Dato’ Tun Hairudin Abu Bakar atau dikenali sebagai YB Don tidak bertanding pada kali ini, sebaliknya BN menamakan anak bekas MB Negeri Sembilan sebagai calon BN.
Pencalonan Najib mengundang kritikan anak muda di sini yang tidak mahu calon payung terjun dan ‘anak beranak”.
Menurut Pengerusi Anak Watan Nasional Port Dickson, Megat Muhammad Faris Megat Ismail, kehadiran Najib di sini amat tidak disenangi anak muda khasnya.
Katanya lagi dalam gelombang rakyat menolak calon anak beranak dan calon kroni, BN berbuat demikian.
“Ramai pemuda di sini khasnya kalangan penyokong BN tidak akan mengundi calon BN kerana ia satu tanda protes kepada calon dan juga kepada pucuk pimpinan BN,” ujar Megat yang juga anak jati Kampung Baru Sirusa. – HARAKAHDAILY 29/7/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!