SEREMBAN: Janji-janji yang ditaburkan PH-DAP sepanjang kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dilanggar bagi membolehkan bersekongkol dengan pemimpin yang pernah mereka sebut sebagai ‘penyamun’.
Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Sembilan, Gary Lee Ban Fatt berkata, seluruh rakyat Malaysia sebenarnya tertipu dengan perjuangan PH-DAP.
Ketika kempen PRU15, katanya mengundi DAP bertujuan untuk memenjarakan ‘penyamun’ namun apa yang berlaku sekarang, mereka bekerjasama dalam kerajaan campuran.
“Saya yakin ramai pengundi Cina masih ingat apa yang dijanji dan bukan apa yang dilakukan.
“Seluruh rakyat Malaysia pun rasa tertipu dengan apa yang mereka janjikan,” katanya pada majlis Pengumuman Calon PN di Dewan Perdana KRS, Bandar Warisan Puteri di sini, malam tadi.
Beliau akan mewakili PN bagi Dun Seremban Jaya berkata, jentera PN Dun itu sudah bergerak aktif dan melaksanakan pelbagai aktiviti mendekati masyarakat.
Menurutnya, jika diberi mandat rakyat beliau akan memberi perhatian untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Dun itu.
“Setiap hari orang ramai nak pergi kerja di jalan besar di hadapan sebuah pasar raya besar berdepan kesesakan teruk. Penduduk Seremban Jaya kalau nak sampai ke pejabat jam 8.30 pagi, kena keluar rumah seawal jam 7 pagi.
“Selama 15 tahun berlarutan. Rakyat bagi mandat untuk DAP untuk jaga mereka. Bukan sahaja tidak selesai masalah tetapi seperti tidak ambil peduli,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/7/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!