KANGAR: Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca 2023 kembali lagi pada tahun ini, bermula semalam hingga Ahad ini di Perpustakaan Awam Negeri di sini.
Kemeriahan hari pertama pesta buku dan karnival yang diadakan antara jam 9 pagi hingga 10 malam, dimulakan dengan majlis perasmian oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Wan Badariah Wan Saad yang mewakili Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Menurut Wan Badariah, karnival ini memberikan kebaikan kepada pengunjung, selain menarik minat untuk mendalami ilmu dengan membaca.
“Alhamdulillah dan tahniah kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang menjadikan pesta buku dan karnival membaca ini sebagai acara tahunan.
“Menerusi program begini, kita dapat menarik minat pelbagai golongan untuk datang ke perpustakaan bermula dari kanak-kanak hingga dewasa,” katanya.
Selain dari pameran dan jualan buku, turut diadakan lebih 30 aktiviti sampingan yang sesuai untuk semua peringkat umur seperti bengkel deklamasi puisi, bengkel jana pendapatan melalui TikTok, bengkel taranum dan azan, pameran interaktif Pusat Sains Negara dan pameran adventure zoo.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Abd Rahim Husin, berkata penganjuran pesta itu memberi peluang kepada rakyat negeri ini mendapatkan bahan bacaan terkini di pasaran.
“Justeru, penganjuran pesta buku ini boleh dianggap bertepatan dengan keperluan masyarakat di negeri ini, terutama pelajar sekolah yang memerlukan bahan rujukan tambahan.
“Saya percaya program yang berunsurkan didik hibur ini akan menarik lebih ramai penduduk Perlis berkunjung ke pesta buku ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!