Penyokong hairan Ketua Umno Kelantan tiada senarai calon

- Advertisement -

MACHANG: Langkah Umno Kelantan menampilkan begitu ramai calon muka baharu yang kurang dikenali rupa-rupanya mengundang tidak senang penyokong parti itu di peringkat akar umbi.

- Advertisement -

Malah mereka turut mempersoalkan nama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub tiada dalam senarai calon yang diumumkan baru-baru ini.

Timbalan Yang Dipetua PAS Machang Azhar Salleh berkata, ramai ahli dan penyokong Umno di kampung melahirkan perasaan kecewa terhadap apa yang berlaku terhadap Umno sekarang.

Katanya, mereka hairan jeneral yang mengetuai Umno Kelantan berada di luar gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) kemungkinan sudah tahu nasib yang bakal menimpa parti itu 12 Ogos ini.

“Rakyat di bawah bercakap pemimpin Umno Kelantan termasuk di Machang tidak berani bertanding sehingga menamakan calon yang tidak dikenali pada pilihan raya kali ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Malam tadi aktivis Umno Machang meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu pada program ceramah Ppakat Pertahan di Kampung Joh.

Pada majlis itu pemimpin akar umbi Umno terbabit menyerah borang kepada Pengerusi Bersatu Machang Kamaruddin Abdul Kadir.

Pada 15 Julai lepas bekas Ketua Pemuda Umno Machang Iryandi Ismail bersama 275 bekas ahli Umno dan PKR menyerah borang menyertai Bersatu.

Azhar yang juga bekas Adun Pulai Chondong berkata, keupayaan PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) membolot 14 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuatkan ramai penyokong Umno beralih perjuangan.

Menurutnya ahli dan penyokong di kampung-kampung melihat Umno tidak mampu lagi membela nasib orang Melayu kerana menjalin kerjasama dengan DAP dalam kerajaan campuran.

“Ahli dan penyokong Umno mulai sedar sehingga ramai mengambil langkah meninggalkan parti itu dan menyertai PN.

“Sedangkan PAS tidak membuat sebarang kempen untuk menarik ahli Umno tetapi mereka bertindak sendiri kerana sedar apa yang berlaku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/7/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!