Penduduk 29 kampung pindah dihimpit pembangunan

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Tanpa sedar 29 daripada 662 kampung yang terdapat di Pulau Pinang sudah lenyap akibat kerakusan pembangunan dilaksanakan kerajaan negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Perhubungan Bersatu negeri, Zulkifli Bakar berkata, kepincangan yang sedang berlaku itu tanpa disedari rakyat kerana ia dirancang dengan teliti.

Katanya, fakta itu berdasar tinjauan yang dibuat pasukan penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia.

“Punca kehilangan kampung-kampung tersebut disebabkan pembangunan yang begitu pesat menghimpit kampung-kampung menyebabkan penduduk terpaksa mencari tempat tinggal di lokasi lain,” katanya dalam Ceramah PERIKATAN NASIONAL (PN) Best di Sungai Bakap, malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS negeri, Muhammad Fauzi Yusoff, Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli, ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS Steven Koh dan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Norzamri Latif.

Zulkifli juga berkata, perancangan kerajaan negeri dalam tempoh 2020-2030 untuk membina sebanyak 742,000 unit rumah, namun hanya 30 peratus berharga antara RM300,000 hingga RM400,000.

Kata beliau juga banyak perkara tidak munasabah dilakukan pemerintah misalnya projek tambak laut sehingga sekarang dibantah sebahagian penduduk.

Sementara itu, Muhammad Fauzi berkata ada dalam kalangan rakyat dianiaya sikap pemaju yang rakus dan tamak.

Katanya, ada pemaju membina rumah dengan kualiti rendah menyebabkan pembeli berdepan pelbagai masalah selepas mendiami kediaman terbabit.

“Mereka pergi berjumpa kerajaan negeri meminta supaya pemaju bertanggungjawab dengan kualiti rumah, namun tidak dapat pembelaan. Akhirnya mereka datang berjumpa dengan PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2023